am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui karier politiknya masih belum berakhir sebaliknya masih bergiat aktif sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera dan Ahli Parlimen kawasan sama.
Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan masa depan politiknya akan dilakukan apabila tiba masanya kelak.
“Saya masih aktif sebagai Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian.
“Namun saya sedar tidak lagi aktif dalam arus perdana politik ‘mainstream’ tanah air.
“Keputusan berkenaan pilihan raya umum (PRU) akan dibuat apabila tiba masanya,” katanya ketika ditemui selepas mengunjungi keluarga ibu tunggal yang juga penerima bantuan bulanan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) sempena Tahun Baharu Cina di Larkin, di sini hari ini.
Beliau berkata, buat masa dia memberi tumpuan kepada usaha membantu kira-kira 1,000 anak-anak yatim yang kehilangan ketua keluarga disebabkan pandemik COVID-19.
“Mereka umpama anak dan cucu saya,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi YKM berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu membelanjakan kira-kira RM5 juta setahun bagi memberi bantuan sumbangan bulanan serta sumbangan secara one-off kepada kira-kira 1,000 penerima.
Beliau berkata, inisiatif terbabit dilaksanakan sejak 2022 khususnya selepas ketika fasa pasca pandemik COVID-19 bermula.
“Setahu saya, Malaysia adalah satu-satunya negara yang menyediakan bantuan dan sumbangan kewangan kepada waris yang kehilangan ketua keluarga ketika COVID-19 sehingga pasca pandemik.
“Selain bantuan bulanan sebanyak RM200 kepada anak-anak yatim bawah 15 tahun serta RM25 kepada yang berusia atas 15 tahun, bantuan diberi sehingga mereka berusia 18 tahun atau sehingga tamat ijazah sarjana pertama mereka,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih membuka permohonan kepada mana-mana pihak yang layak kerana masih ramai dalam kalangan waris yang kehilangan ketua keluarga akibat COVID-19 belum berdaftar dengan pihaknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




