Azam Baki nafi langgar peraturan, jelaskan saham RM800,00 sudah dilupuskan

Azam Baki nafi langgar peraturan, jelaskan saham RM800,00 sudah dilupuskan

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menafikan dakwaan beliau melanggar peraturan berkaitan pemilikan saham bernilai kira-kira RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, sambil menegaskan semua urusan dibuat mengikut prosedur ditetapkan.

Azam Baki tegaskan telah buat pengisytiharan penuh

Memetik laporan daripada New Straits Times, Azam menyatakan beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan telah membuat pengisytiharan penuh berhubung pemilikan saham berkenaan, termasuk sumber pendapatan, melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Saya telah membuat pengisytiharan mengenai perkara ini, termasuk sumber pendapatan saya, melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam. Semuanya telus,” katanya.

Azam Baki sudah lupuskan kepemilikan saham dalam tahun yang sama

Menurut Azam, saham tersebut dibeli pada tahun lalu dan telah dilupuskan dalam tahun yang sama, sekali gus menafikan dakwaan bahawa beliau masih memiliki pegangan berkenaan sehingga kini.

Beliau turut menyifatkan laporan media mengenai isu tersebut sebagai berniat jahat dan mengelirukan, selain tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang kerana bersifat memfitnah.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Azam disenaraikan sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Laporan Bloomberg pula menyebut pegangan saham itu didedahkan dalam penyata tahunan Velocity Capital Bhd yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu, dengan nilai dianggarkan sekitar RM800,000 berdasarkan harga penutupan dagangan Isnin.

azam baki

Artikel lain: Media luar dakwa Azam Baki miliki saham RM800,000? Lebih had bagi penjawat awam

Semakan mendapati syarikat berkenaan tersenarai di Bursa Malaysia dan sebelum ini terlibat dalam sektor pengangkutan, logistik serta pembuatan seramik, sebelum beralih kepada sektor perkhidmatan kewangan termasuk pemberian pinjaman wang.

Sumber: New Straits Times (Austin Camoens)

Scroll to Top