am@hmetro.com.my
Melaka: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baharu Cina berkuat kuasa 13 hingga 21 Februari ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan skim selama sembilan hari itu meliputi empat hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan empat hari selepas perayaan yang bertujuan untuk memastikan keseimbangan harga barangan keperluan serta melindungi kepentingan pengguna dan peniaga.
Beliau berkata, sebanyak 16 jenis barangan dikenal pasti untuk dikawal di bawah skim berkenaan.
Namun, katanya, jumlah barangan berbeza mengikut negeri iaitu 16 barangan di Sarawak, 15 barangan di Semenanjung Malaysia dan Sabah manakala 14 barangan lagi di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Bagi SHMMP kali ini, empat barangan baharu ditambah di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu sayur sawi pendek atau sawi Jepun, cili merah, bawang kuning besar serta bawang merah besar,” katanya selepas melancarkan SHMMP sempena Tahun Baharu Cina di sini hari ini.
Turut hadir, EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Mohd Sayuthi Bakar dan Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin.
Armizan berkata, antara barangan keperluan yang disenaraikan termasuk ikan bawal putih, udang putih, bawang putih (China), kubis bulat import, lobak merah, lobak putih, ubi kentang (China), halia tua import, kepak ayam serta daging dan perut babi, selain babi hidup yang dikawal di peringkat ladang.
Katanya, tempoh pelaksanaan skim itu ditetapkan bersesuaian dengan keadaan semasa bagi mewujudkan situasi `menang-menang’ kepada semua pihak dan pada masa sama, pengguna dapat menikmati harga berpatutan manakala peniaga pula tidak terbeban dengan tempoh kawalan yang terlalu lama.
Beliau berkata, penetapan senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan dibuat dengan mengambil kira faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah serta pandangan rakan strategik termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan serta pemain industri.
“KPDN sentiasa bekerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim,” katanya.
Pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 akan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dengan harga maksimum di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak menerusi laman web rasmi KPDN.
Dalam pada itu, pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah bagi memastikan pematuhan peniaga, selain pendekatan pendidikan, nasihat dan amaran turut dilaksanakan.
Armizan berkata, kerajaan turut mengingatkan peniaga supaya menggunakan label harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal dan memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi peraturan, termasuk denda sehingga RM500,000 bagi syarikat yang melanggar syarat berkenaan.
Selain SHMMP, KPDN turut melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sempena Tahun Baharu Cina bermula 3 hingga 17 Februari menerusi penganjuran sebanyak 920 program jualan di seluruh negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd



