Coquimbo Unido ambil risiko pinjam Holgado sehingga Jun

Coquimbo Unido ambil risiko pinjam Holgado sehingga Jun

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kelab Chile, Coquimbo Unido mengambil langkah berani untuk menanggung risiko apabila mengikat pemain kebangsaan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado.

Terdahulu, kelab itu menerusi laman media sosial mereka mengumumkan kehadiran Holgado yang dipinjam daripada kelab Colombia, America de Cali sehingga Jun.

“Rodrigo Holgado kembali ke tempat yang akan sentiasa menjadi rumahnya, rumah yang mana sejarah terus dilakar bersama keluarga Aurinegra.

“Sebagai sebuah kelab, kami akan bersama anda dalam setiap proses, tanpa mengira keputusan dengan keyakinan bahawa wilayah kami menjadikan anda lebih hebat,” kata kelab itu.

Holgado tidak asing lagi dengan pasukan Coquimbo Unido apabila dia pernah dua kali bersama kelab itu pada 2018 dan 2023.

Meskipun mengikat Holgado secara pinjaman, kelab berkenaan dilihat mengambil risiko kerana status hukuman penggantungan yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap penyerang berusia 31 tahun itu bakal diketahui hujung bulan ini.

Holgado bersama enam lagi pemain Harimau Malaya iaitu Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel sebelum ini digantung 12 bulan dan denda susulan dakwaan isu pemalsuan dokumen.

Bagaimanapun, hukuman itu ditangguhkan sementara selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan (Stay of Execution) yang dikemukakan oleh tujuh pemain terbabit.

Proses pendengaran rayuan kes itu akan berlangsung di CAS pada 26 Februari ini dan sekiranya keputusan tidak memihak kepada mereka, hukuman yang dikenakan sebelum ini bakal disambung semula.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top