BATU GAJAH: Pemandu Toyota Hilux yang terlibat kemalangan dengan Perodua Myvi sehingga mengorbankan tiga sekeluarga di Kampung Batu 1, Jalan Tanjung Tualang di Batu Gajah malam semalam didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md. Noor Aehawan Mohamad berkata, ujian saringan air kencing mendapati pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit positif dadah jenis tetrahidrokannabinol (THC).
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Pemandu Toyota Hilux berkenaan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian pada kira-kira 9.50 malam itu, Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 27 tahun terbabit dalam perjalanan dari Kampar ke Bemban.
“Siasatan awal mendapati pemandu Toyota Hilux tersebut dipercayai memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat perlanggaran tersebut, pemandu Myvi berusia 34 tahun serta penumpang wanita berusia 65 tahun disahkan maut di lokasi kejadian” katanya.
Menurutnya, seorang lagi penumpang, iaitu kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Batu Gajah.
Ujarnya, pemandu Hilux hanya mengalami kecederaan ringan melibatkan sakit pada lutut serta tangan kiri dan kanan.
Jelasnya, bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.
Media melaporkan, seorang kanak-kanak bersama ibu dan neneknya maut dalam kemalangan tersebut.
Mangsa, S Sarala Devi, 34, dan G Sarasbathy, 65, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di dalam Perodua Myvi manakala S Shaastikka, 3, meninggal dunia di Hospital Batu Gajah. – UTUSAN




