Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan laporan Bloomberg yang mengaitkan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, dengan kegagalan pengisytiharan aset adalah mengelirukan dan tidak berasas, serta berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap suruhanjaya itu.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, SPRM menolak laporan berkenaan sebagai tidak tepat dan mencemarkan reputasi pegawai terbabit, sambil menekankan ia secara tidak adil mengaitkan suruhanjaya itu dengan dakwaan salah laku.
“Sebarang gambaran yang menggambarkan kegagalan mengisytiharkan aset adalah tidak tepat dari segi fakta dan mewujudkan tanggapan mengelirukan terhadap integriti serta rangka kerja tadbir urus yang mengawal SPRM dan perkhidmatan awam,” menurut kenyataan SPRM.

Laporan Bloomberg tak benar
Jelas SPRM, pengisytiharan aset oleh pegawai awam tertakluk kepada prosedur pentadbiran dan tadbir urus yang ditetapkan di bawah kerangka perkhidmatan awam, serta dikemukakan melalui saluran rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan.
Ketua Pesuruhjaya telah mematuhi sepenuhnya semua keperluan pengisytiharan, termasuk melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.
Pengisytiharan berkenaan merangkumi sumber pendapatan, pemerolehan dan pelupusan aset, termasuk pegangan saham. SPRM menegaskan sebarang dakwaan yang mencadangkan ketidakpatuhan adalah tidak tepat dan mencerminkan gambaran tidak adil terhadap integriti agensi.
“Laporan sedemikian secara tidak wajar mengaitkan SPRM dengan dakwaan salah laku dan boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap Suruhanjaya,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Tan Sri Azam Baki menjelaskan kepada New Straits Times bahawa pegangan saham beliau sebelum ini dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dilaksanakan secara telus dan mengikut peraturan.
Beliau menegaskan tidak mempunyai apa-apa yang hendak disembunyikan berhubung saham bernilai RM800,000 itu, yang dibeli dan dilupuskan dalam tahun yang sama.
Artikel lain: Azam Baki nafi langgar peraturan, jelaskan saham RM800,00 sudah dilupuskan
Azam menyifatkan laporan Bloomberg yang mempersoalkan transaksi tersebut sebagai berniat jahat dan mengelirukan, dan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang kerana dakwaan itu bersifat fitnah.

SPRM menegaskan semula komitmennya untuk menegakkan kepercayaan, integriti, dan ketelusan, serta tidak akan berkompromi terhadap cubaan menjejaskan kredibiliti dan keyakinan awam melalui laporan tidak tepat dan tidak bertanggungjawab.
Sumber: FB SPRM




