Tanjung Malim: Pencapaian bergelar profesor bukan sekadar lambang kecemerlangan akademik, sebaliknya satu amanah dan ujian yang menuntut keutuhan jiwa serta kesetiaan terhadap organisasi.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata gelaran profesor juga perlu disertai dengan sifat tawaduk serta kesedaran terhadap permulaan perjalanan seorang akademia.
“Gelaran profesor ini adalah satu dugaan, satu cubaan dan satu ibrah. Jangan kita lupa di mana kita bermula, siapa sahabat yang ada ketika susah dan senang.
“… dan fahamilah bahawa gelaran ini adalah satu jariah serta ibadah untuk membantu insan lain,” katanya pada Majlis Syarahan Pelantikan Profesor membabitkan Prof Dr Ridzwan Che Rus dari Fakulti Teknikal dan Vokasional serta Prof Ts Dr Nor Kalsum Mohd Isa dari Fakulti Sains Kemanusiaan, semalam.
Md Amin turut menasihatkan kedua-dua profesor yang dilantik supaya kekal dengan jati diri dan tidak berubah selepas menerima pengiktirafan tertinggi akademik itu.
“Hari ini (semalam), dua orang insan ini berjaya menempuh satu fasa penting dalam perjalanan seorang akademia hasil usaha, doa keluarga, sahabat serta rahmah dan barakah Allah SWT
“(Namun) Ingat, jangan selepas dapat gelaran profesor ini mula berubah menjadi insan yang lain.
“Pesanan ini bukan untuk mereka sahaja, tetapi juga untuk diri saya sendiri agar sentiasa ingat di mana kita bermula,” katanya.
Beliau turut menekankan konsep profesor sebagai ‘Polymath’, iaitu sarjana yang tidak jumud dalam satu bidang, sebaliknya berupaya mengaitkan kepakaran dengan pelbagai disiplin demi manfaat masyarakat.
“Profesor yang sebenar ialah Polymath. Bukan hanya pakar dalam bidang teknikal dan vokasional atau sains kemanusiaan semata-mata, tetapi mampu mengaitkan ilmu dengan etika, ekonomi, pembangunan manusia dan alam sekitar.
“Tokoh ilmuwan terdahulu seperti Za’ba, Ungku Aziz, Al-Ghazali dan Ibnu Sina adalah contoh Polymath yang menguasai pelbagai cabang ilmu dan menyumbang secara menyeluruh kepada tamadun manusia.,” katanya.
Ridzwan kini memegang jawatan sebagai Pengarah Akademik dan Antarabangsa manakala Nor Kalsum adalah Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




