redzuan.muharam@hmetro.com.my
Ampang: “Fikiran saya kosong, nampak saja tenang kalau tengok video itu tapi hati saya hancur kerana mengenangkan tak dapat tunaikan impian emak nak tengok saya berkahwin.”
Itu luahan Nurul Hazwani Alias, 26, ketika menceritakan kisahnya yang diuji dengan kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Jewayah Tajally pada hari ulang tahun kelahiran dan pernikahannya dengan suami tercinta, Muhamad Sharul Azman Muhd Nasir, 28.
Video pernikahannya itu meruntun hati warganet selepas tular di media sosial kerana menyaksikan Nurul Hazwani melangsungkan akad nikah di hadapan jenazah ibunya yang berusia 70 tahun.
Berkongsi kisahnya, Nurul Hazwani berkata, dia sepatutnya melangsungkan akad nikah pada Disember tahun ini namun diawalkan Ahad lalu kerana keadaan kesihatan ibunya yang merosot selepas disahkan menghidap barah pankreas tahap empat pada November lalu.
“Jumaat lalu, emak baru balik ke rumah selepas dimasukkan ke hospital tapi kena bergantung dengan alat pernafasan. Malam sebelum saya nikah, kami sempat bersembang dan saya ada minta maaf juga halalkan makan minum.
“Saya beritahu emak, minta dia pakai lawa-lawa tapi emak tak jawab…dia pun nampak lemah dan dalam jam 3 pagi, saya terjaga dan sedar emak sudah tak sedarkan diri. Ingatkan badannya lemah rupanya sudah tiada dan kiranya emak meninggal dalam tidur,” katanya kepada Harian Metro.
Nurul Hazwani berkata, selepas apa yang berlaku, dia berbincang dengan keluarga bagi mendapatkan pandangan untuk meneruskan majlis pernikahan atau sebaliknya.
“Mereka (keluarga) izinkan jadi itu sebabnya saya dan suami teruskan kerana saya nikah di surau bawah blok rumah. Waktu nikah saya jam 9 pagi jadi selesaikan yang itu dulu sebelum uruskan pengebumian.
“Sebab itu jenazah emak ada di situ, bukan kerana tidak beradab. Saya pun sempat mandikan emak dengan pakai baju nikah dan iringi jenazah ke kubur dengan baju sama kerana apa pun, saya kena datang sebagai penghormatan terakhir buat emak,” katanya.
Nurul Hazwani berkata, sehingga kini, dia masih berduka dengan pemergian ibunya kerana terjadi pada hari bahagia dan cukup bermakna buatnya.
“Tiga peristiwa jadi dalam sehari jadi hari itu akan saya ingat sampai bila-bila. Bukan tak terima dan siapa kita nak tolak takdir tapi pemergian emak sangat cepat tapi saya kena juga reda,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




