am@hmetro.com.my
MESKIPUN agenda seninya padat, penyanyi dan pelakon popular, Nabila Razali mengakui dia tetap mengutamakan masa berkualiti untuk bersama keluarganya.
Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali berkata, dia bersyukur kerana suaminya sentiasa memahami dan memberi sokongan padanya untuk mengimbangi kerjaya seni diceburi dan rumah tangga.
“Pada zaman sekarang, wanita juga bekerjaya dan keluar bekerja. Suami saya juga tidak ada masalah untuk saya keluar bekerja.
“Saya juga bersyukur kerana suami sangat memahami bila saya keluar bekerja pada waktu pagi dan balik pula pada waktu malam,” kata Nabila ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama siri Viu Original berjudul Sesaat Lebih, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, kata penyanyi lagu Pematah Hati itu, dia dan suami sentiasa berusaha meluangkan masa bersama anak walaupun masing-masing sibuk dengan komitmen kerja.
“Kami juga akan berbincang untuk pastikan salah seorang perlu ada untuk meluangkan masa bersama anak.
“Kalau tidak sibuk memang kami akan bawa anak keluar berjalan.
“Tapi, kalau sibuk sangat pun kami akan balik ke rumah untuk bawa anak pergi makan tengah hari sekejap. Apa yang penting kami tetap ada masa untuk bersama anak,” kata Nabila yang berkahwin dengan ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November 2023 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Nik Muhammad yang kini berusia 13 bulan.
Sementara itu, berkongsi lakonannya dalam drama siri Viu Original berjudul Sesaat Lebih pula, kata Nabila, watak Adelia yang dilakonkan dalam drama itu banyak mengajarnya untuk lebih menghargai masa bersama keluarga.
“Drama ini banyak mengajar saya untuk menghargai momen dengan orang yang kita sayang.
Lebih-lebih lagi, apabila sudah bergelar ibu dan ada anak,” katanya.
Ditanya babak bersentuhan sebagai pasangan suami isteri bersama Alvn Chong dalam drama itu pula, kata Nabila, dia tidak ada masalah kerana sudah mendapat keizinan dari suaminya.
“Suami sudah tahu kerjaya saya sebagai pelakon sebelum kami berkahwin. Pada masa sama, babak bersentuhan itu juga tidak melanggar batas kerana berlapik,” katanya.
Nabila juga berkolaborasi bersama dua pelakon utama iaitu Alvn dan Hazziq Husni untuk menyampaikan lagu tema drama Sesaat Lebih berjudul Sampai Jumpa.
Selain Nabila, Alvn dan Hazziq, drama itu turut dibintangi barisan pelakon seperti Zila Bakarin, Hawra Jamalullail dan Fahmy Reza.
© New Straits Times Press (M) Bhd




