Setiap perkataan, ucapan yang baik dikira sedekah

Setiap perkataan, ucapan yang baik dikira sedekah

Hanya dengan kata-kata, pertikaman lidah boleh berlaku yang membawa kepada perkara yang lebih buruk. Oleh itu, amalan berbudi bahasa secara jelas dapat mengelakkan salah faham daripada berlaku kerana terdapat unsur toleransi antara satu sama lain dalam berkomunikasi. Permasalahan yang berlaku dalam masyarakat juga boleh diselesaikan dengan harmoni apabila budaya ini diamalkan dalam percakapan setiap ahli masyarakat.

Berbudi bahasa bererti percakapan yang baik, elok dalam tutur kata, tinggi budi bicara, beradab, bersopan santun, bertatatertib, lemah-lembut, hormat, tingkah laku yang baik dan akhlak yang mulia.

Selain itu, berbudi bahasa juga bererti berbudi melalui bahasa atau bahasa sebagai budi. Hal ini kerana skop budi itu amat luas. Ia termasuk berbudi dengan harta, tenaga, buah fikiran, nasihat, tunjuk ajar, sikap dan menggunakan bahasa yang baik dan menyenangkan pendengar.

Jelas di sini bahawa semua orang boleh berbudi kepada masyarakat mengikut kemampuan masing-masing, termasuk berbudi dengan bahasa yang halus dan baik. Sebab itulah bahasa juga dikira sebagai sebahagian daripada budi pekerti yang mulia atau akhlak yang terpuji.

Sebenarnya, nilai berbudi bahasa ini telah lama diterapkan dalam perkhidmatan awam. Misalnya, dalam buku Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan oleh Institut Tadbiran Awam Malaysia (INTAN), telah dikemukakan beberapa ciri berbudi mulia dalam perkhidmatan awam iaitu, bertutur dengan berlemah-lembut tetapi tegas; memberi layanan dengan wajah yang manis dan bersopan santun; bertindak dengan kelakuan yang menyenangkan; dan bersedia membantu orang lain dengan tangan yang terbuka.

Dalam konteks ini semua manusia hendaklah sentiasa dibangunkan budi pekertinya supaya dapat berbudi dengan tutur bahasa yang lembut dan halus. Ia bukan sahaja dapat memberikan kesan positif kepada orang lain, malah akan mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah SWT.

Diriwayatkan daripada A’isyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai A’isyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia suka akan kelembutan. Allah akan memberikan balasan daripada kelembutan yang tidak diberikan ke atas sikap keras dan kasar serta selainnya.” (Riwayat al-Bukhari, Hadis no. 6415)

Sebenarnya amalan berbudi bahasa ini adalah antara akhlak Rasulullah SAW. Dengan sifat inilah Baginda SAW dengan mudah dapat menyebarkan dakwah Islam. Misalnya, Rasulullah SAW sentiasa menyambut tetamu dengan kata-kata yang lemah-lembut sekalipun tetamu yang mengunjungi Baginda SAW itu sudah dikenali seorang yang berperangai buruk.

Diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa terdapat seorang lelaki meminta izin untuk menemui Nabi SAW. Baginda SAW bersabda: “Persilakanlah beliau masuk. Beliau adalah lelaki yang berperangai buruk daripada sebuah keluarga. Tatkala lelaki itu masuk menemui Nabi SAW, maka Baginda menyambutnya dengan kata-kata yang lemah lembut. Aisyah RA berkata: “Wahai Rasulullah! mengapa kamu (iaitu Baginda) bercakap dan bersikap selembut itu. Baginda SAW bersabda: ‘Wahai Aisyah! Sesungguhnya orang yang kedudukannya paling buruk di sisi Allah SWT pada Hari Kiamat kelak ialah orang yang dijauhi atau orang yang ditinggalkan oleh orang ramai kerana mereka takut akan kejahatannya (orang yang buruk perkataan dan perbuatannya).” (Riwayat al-Bukhari, Hadis no. 5572)

Ketinggian budi bahasa Rasulullah SAW jelas dilihat apabila Baginda menegur A’isyah RA yang menjawab salam seorang Yahudi yang datang menemui Baginda dengan ucapan bal ‘alaikumussam wa al-La’nah’ (bahkan atas kamulah moga-moga mendapat kematian dan kutukan).

Diriwayatkan daripada A’isyah RA bahawa terdapat sekumpulan orang Yahudi meminta izin menemui Rasulullah SAW dengan mengucapkan lafaz Assalamualaikum. Maka A’isyah RA menyahut: Bal ‘Alaikumussaam walla’nah. (Mendengar kata-kata A’isyah itu) lalu Rasulullah SAW menegur: “Wahai A’isyah! Sesungguhnya Allah menyukai keramahan dalam segala hal. Aisyah RA berkata: “Tidakkah engkau mendengar apa yang mereka ucapkan? Rasulullah SAW bersabda: ‘Aku telah menjawab wa’alaikum (iaitu begitu pula kamu).” (Riwayat Muslim, Hadis no. 4027)

Sebenarnya Baginda SAW sentiasa mengamalkan kehalusan budi bahasa dalam apa jua keadaan. Setiap orang yang datang menemui Rasulullah akan terasa senang dengan layanan dan kata-kata Baginda. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah RA katanya: “Apabila Rasulullah SAW diminta sesuatu, Baginda tidak pernah menjawab: ‘Tidak boleh’.” (Riwayat al-Bukhari, Hadis no. 5574)

Demikianlah tinggi dan halusnya budi bahasa Rasulullah SAW ketika berhadapan dengan semua orang, sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam. Hal ini menyebabkan para pengunjung Rasulullah SAW merasa senang dan tertarik dengan dakwah Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Di samping itu, Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan sahabat yang memiliki khadam (pembantu atau pelayan) supaya sentiasa berbudi bahasa dengan para pekerja mereka. Dengan adanya budi bahasa, hubungan antara majikan dan pekerja bertambah baik.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila khadam (pelayan) salah seorang di antara kamu telah selesai memasak kemudian menghidangkannya, sesungguh dia adalah orang yang telah menangani panas serta asap hidangan itu. Oleh itu kamu hendaklah mempelawanya menikmati masakan itu bersama-sama. Jika makanan itu sedikit maka hendaklah kamu memberikannya kepada pelayan itu satu atau dua suapan.” (Riwayat Muslim, Hadis no. 3142)

Sebenarnya orang yang memiliki budi bahasa termasuk dalam kategori orang yang baik budi pekertinya. Malah orang yang mempunyai budi pekerti baik adalah orang yang mulia.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa ketika Mu’awiyah berkunjung ke Kufah, maka Abdullah bin ‘Amr bercerita tentang Rasulullah SAW katanya: Rasulullah SAW tidak pernah melampaui batas dan tidak pernah berbuat perkara keji. Beliau juga berkata: Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu adalah orang yang paling baik budi pekertinya.” (Riwayat al-Bukhari, Hadis no. 3295)

Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya supaya sentiasa mengamalkan budi bahasa dalam segala hal. Hal ini kerana setiap perkataan atau ucapan yang baik itu dikira sebagai sedekah.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: “Pada setiap hari terdapat sedekah di setiap sendi manusia ketika matahari terbit. Seterusnya Baginda bersabda: ‘Berlaku adil antara dua orang manusia adalah sedekah, membantu seseorang naik ke atas binatang tunggangannya atau mengangkatkan barang-barangnya ke atas belakang binatang tunggangannya juga adalah sedekah’. Rasulullah SAW bersabda lagi: ‘Perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah menuju sembahyang adalah sedekah dan membuang sesuatu yang berbahaya di jalan adalah sedekah.'” (Riwayat Muslim, Hadis no. 1677)

Jelas di sini bahawa hidup bermasyarakat sama seperti belayar dalam sebuah kapal. Jika ada antara orang yang menaiki kapal itu bertindak liar dan khianat seperti menebuk kapal yang menyebabkan kapal itu bocor dan tenggelam, maka setiap orang yang menyertai pelayaran itu wajib mencegahnya. Hal ini boleh disamai dengan segelintir masyarakat hari ini yang telah rosak budi bahasanya. Mereka bukan sahaja gagal mengamalkan budi bahasa yang dianjurkan oleh Islam, malah melakukan sesuatu yang merugikan dan menyusahkan masyarakat.

Kesimpulannya, nilai budi bahasa yang dianjurkan oleh Islam itu bersifat kebaikan mutlak, sejagat, mantap dan mudah dipatuhi. Ia perlu diamalkan dalam pendidikan, pentadbiran, perkhidmatan awam, keluarga dan persekitaran masyarakat.

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top