Manama: Kimi Antonelli tetap akan menyertai ujian pra-musim Formula Satu (F1) di Bahrain minggu ini walaupun terbabit dalam kemalangan jalan raya, selepas disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pelumba Itali berusia 19 tahun itu terbabit dalam kemalangan berhampiran kediamannya di San Marino pada Sabtu malam, namun pasukan Mercedes mengesahkan dia berada dalam keadaan selamat.
Kemalangan itu tidak membabitkan kenderaan lain apabila Antonelli merempuh penghadang jalan ketika memandu Mercedes AMG GT 63 PRO4MATIC – “Edisi Khas Koleksi Permotoran”, sebuah model terhad dengan hanya 200 unit dihasilkan.
“Kami boleh mengesahkan Kimi terbabit dalam satu kemalangan trafik pada malam Sabtu berhampiran rumahnya di San Marino.
“Polis hadir ke lokasi selepas dihubungi Kimi. Hanya kenderaannya saja yang terbabit dan walaupun kereta itu rosak, Kimi tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata jurucakap Mercedes kepada Crash.net.
Insiden berkenaan tidak menjejaskan penyertaan Antonelli dalam minggu pertama ujian pra-musim rasmi F1 di Sirkit Antarabangsa Bahrain yang dijadual berlangsung bermula hari ini hingga 13 Februari.
Mercedes sebelum ini mengesahkan Antonelli akan memandu jentera W17 pada sesi petang hari pembukaan ujian, bergilir bersama rakan sepasukan, George Russell.
Satu lagi ujian pra-musim selama tiga hari akan diadakan di Bahrain dari 18 hingga 20 Februari, sebelum perlumbaan pembukaan musim, Grand Prix Australia pada 8 Mac.
Antonelli menamatkan musim sulung F1 yang tidak konsisten di kedudukan ketujuh kejuaraan pemandu.
Bakat muda Mercedes itu mengakhiri kempen hanya enam mata di belakang juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, yang digantikannya di pasukan Silver Arrows.
Antonelli turut mencatat tiga penamat podium dan meraih petak utama pertamanya menerusi perlumbaan pecut Miami.
© New Straits Times Press (M) Bhd




