Lebih 2,300 unit cecair vape dirampas

Lebih 2,300 unit cecair vape dirampas

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas lebih 2,300 unit cecair vape pelbagai jenama dalam satu operasi bersepadu di sebuah premis di sekitar Likas, di sini, semalam.

Operasi dikenali sebagai Op Taring Landai E-Cigarette Mega itu dilaksanakan hasil kerjasama bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKN Sabah) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abdul Rahman berkata, dalam serbuan berkenaan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menemui 92 jenis perisa vape yang dipamerkan di kaunter jualan premis terbabit.

“Pemeriksaan lanjut oleh PPM Wilayah 4 Sabah pula menemukan sebanyak 2,353 unit cecair vape pelbagai jenama disimpan di dalam premis berkenaan.

“Semua rampasan disyaki melanggar peruntukan undang-undang mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM75,825.

Sementara itu, beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi membanteras penjualan dan pengedaran vape secara haram demi melindungi kesihatan awam.

“Pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penjualan dan pengedaran vape secara haram, khususnya yang boleh menjejaskan kesihatan orang awam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti haram berkenaan diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top