PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu memberi penjelasan secara terbuka berkaitan pegangan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, Pekeliling Pengurusan Tatatertib dan Kelakuan Pegawai Awam 2024 melarang penjawat awam membeli saham melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau bernilai melebihi RM100,000 pada nilai semasa.
Katanya, Azam berhak menggunakan hak peribadinya bagi mendapatkan pembelaan undang-undang sekiranya tidak melanggar sebarang kesalahan.
“Sekiranya Azam melanggar pekeliling berkenaan, kerajaan mesti menjelaskan apakah tindakan tatatertib yang diambil dan sama ada satu siasatan khas perlu dijalankan.
“JPA juga perlu menjelaskan sama ada kedudukan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM masih boleh dipertahankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Azam menjelaskan pegangan saham bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan telah diisytiharkan kepada JPA.
Azam berkata, pemilikan itu dibuat secara telus, mengikut prosedur dan tidak disembunyikan.
Guan Eng berkata, demi kepentingan awam, kerajaan melalui JPA perlu menangani perkara ini dengan serius dan menyatakan secara terbuka serta rasmi untuk rekod.
“Prinsip integriti, kebertanggungjawaban dan ketelusan mesti dipelihara, lebih-lebih lagi bagi seorang pegawai yang menerajui jawatan begitu kritikal serta penting seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.-UTUSAN




