am@hmetro.com.my
Kulai: Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menumpaskan kegiatan memproses arak tiruan dengan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM1.7 juta dalam dua serbuan di dearah ini, 3 Februari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dalam serbuan di Taman Mewah dan Taman Senai Utama, di sini, pihaknya turut menahan empat suspek termasuk seorang wanita warga asing berusia antara 20 hingga 30 tahun.
“Siasatan awal mendapati kegiatan ini telah beroperasi sejak Ogos tahun lalu. Mereka membotolkan semua pelbagai jenis arak dipercayai tidak bercukai ini sebelum dijual semula di kedai-kedai tertentu di daerah ini.
“Setiap botol arak ini disyaki dijual pada harga RM50 hingga RM60 sebotol dengan rata-rata pembelinya merupakan pekerja warga asing,” katanya pada sidang media di Balai Polis Senai, di sini, hari ini.
Ab Rahaman berkata, hasil serbuan di lokasi pertama yang dijadikan lokasi pembotolan arak tiruan, pihaknya merampas pelbagai barangan antaranya lapan tong mengandungi pati alkohol, cecair disyaki arak tiruan, pewarna dan bahan perisa.
Katanya, turut dirampas 203 kotak arak pelbagai jenama, 50 kotak berisi 52 botol kosong, satu unit mesin pam air, dua kotak alat pengukur alkohol serta satu gulung pelekat kastam disyaki palsu.
Menurutnya, dalam serbuan kedua yang disyaki menjadi lokasi penyimpanan arak tiruan itu pula, pihaknya merampas van jenis Toyota Hiace dan 414 kotak arak pelbagai jenama.
Beliau berkata, kesemua suspek direman selama sembilan hari bermula 4 Februari lalu sehingga esok bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tidak berkastam atau barang larangan, Seksyen 76 Akta Eksais 1976: Penalti Menjual Arak Tanpa Lesen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
© New Straits Times Press (M) Bhd




