am@hmetro.com.my
Kemaman: Sebuah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Kemaman kerana disyaki melanggar syarat lesen, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, bot terbabit ditahan pada kedudukan kira-kira 9.7 batu nautika dari Pantai Kemasik, pada jam 5.15 petang.
Menurutnya, bot terbabit ditahan ketika bot peronda Maritim sedang melakukan rondaan Op Iman sebelum menemui bot nelayan terbabit dalam keadaan mencurigakan.
“Sebaik ditahan dan dibuat pemeriksaan mendapati bot terbabit dikendalikan tiga lelaki termasuk tekong adalah warga Kemboja, manakala dua lagi adalah nelayan tempatan berusia di antara 25 hingga 50 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot berkenaan disyaki melanggar syarat lesen kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai Terengganu,” katanya.
Abdul Halim berkata, siasatan turut mendapati tiga kru warga asing terbabit disyaki menggunakan dokumen pengenalan diri yang meragukan.
“Siasatan lanjut di atas bot terbabit menemui kira-kira 6,000 liter minyak diesel serta hasil tangkapan yang dianggarkan seberat kira-kira 350 kilogram.
“Kesemua tekong dan nelayan terbabit ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Pihak kami akan terus memperketat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan haram serta memastikan keselamatan perairan negara terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



