KPM laksana kurikulum baharu subjek Sejarah tahun satu dan tingkatan satu bermula tahun depan

KPM laksana kurikulum baharu subjek Sejarah tahun satu dan tingkatan satu bermula tahun depan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan kurikulum baharu bagi mata pelajaran Sejarah bermula tahun depan, melibatkan murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu di sekolah rendah serta menengah.

Laksana kurikulum sejarah

kpm Laksana kurikulum sejarah

Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata pelaksanaan itu akan diperluaskan secara berperingkat pada 2028 dengan membabitkan pula murid Tahun Dua dan Tingkatan Dua.

Memperincikan perkara itu, beliau menjelaskan kurikulum sedia ada digunakan dalam tempoh tertentu sebelum digantikan dengan silibus baharu mengikut keperluan semasa.

“Berkenaan kurikulum (mata pelajaran Sejarah) yang sedang diguna pakai oleh KPM, ia sememangnya akan digunakan untuk satu tempoh dan bila sampai (sesuatu tempoh), kita akan memperkenalkan kurikulum bagi persekolahan baharu.
“Bagi tahun depan, kita perkenalkan kurikulum baharu, ia libatkan Tingkatan Satu dan Tahun Satu, manakala tahun akan datang, 2028, ia merangkumi Tingkatan Dua dan Tahun Dua,” katanya ketika sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) berhubung pelaksanaan kurikulum baharu Sejarah serta tempoh semakan semula yang ditetapkan KPM bagi subjek berkenaan.

Menurut Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Taiping, semakan terhadap kurikulum hanya akan dibuat sekiranya terdapat keperluan.

“Ia (semakan) boleh dilakukan dari semasa ke semasa, tetapi pihak KPM selalu pastikan ia selaras Falsafah Pendidikan Negara.
“Pada masa sama, ia harus seimbang dengan semua segmen dipertimbangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq menyuarakan pandangan agar kementerian lebih berhati-hati supaya unsur politik kepartian tidak diselitkan dalam silibus Sejarah.

“Dalam kita ingin menyemak kurikulum atau memasukkan input sejarah baharu (dalam subjek Sejarah), saya harap kementerian sangat berjaga-jaga.
“Lensa sejarah kalau diwarnai politik kepartian, walaupun memihak kepada kita, boleh menyebabkan ibu bapa tidak selesa menghantar anak ke sekolah dan akhirnya menyebabkan negara rugi secara keseluruhan.
“Kalau kita fokus soal keprihatinan rakyat secara am, (misalnya) isu Rukun Negara, tak ada orang yang akan bangkang. Namun jika diselit (politik kepartian), takut ia diperbesarkan dan perkara yang baik (dalam buku teks Sejarah) akan tercicir,” kongsinya.

Artikel lain: KPM ambil 20,000 guru baharu penuhi keperluan pendidikan negara

Kah Woh yang bersetuju dengan pandangan itu menegaskan KPM komited memastikan kandungan subjek Sejarah kekal relevan dan seimbang tanpa dipengaruhi politik kepartian.

“Sememangnya kita (KPM) memastikan kurikulum Sejarah kekal relevan, pada masa sama dipastikan kandungan itu seimbang, bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian.
“Ini memang pendirian KPM,” tambahnya lagi.

Sumber: Berita Harian (Latifah Arifin)

Scroll to Top