SPRM serah kertas siasatan dua pegawai JAS kepada TPR Jumaat ini

SPRM serah kertas siasatan dua pegawai JAS kepada TPR Jumaat ini

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyerahkan kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan dua pegawai tertinggi Jabatan Alam Sekitar (JAS) kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Jumaat ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata kertas siasatan itu akan dirujuk bersama cadangan untuk mendakwa ketua pengarah dan timbalan jabatan berkenaan.

“Siasatan pegawai saya kini di peringkat akhir. Saya menjangkakan mereka akan menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya pada Jumaat ini bersama cadangan untuk mendakwa kedua-dua mereka,” katanya pada sesi khas media di sini, hari ini.

Ketua Pengarah JAS dan timbalannya baru-baru ini ditahan di bawah Akta SPRM 2009 selepas disyaki terbabit rasuah berhubung pengurusan sisa elektronik (e-waste) yang disiasat agensi berkenaan sejak awal tahun ini.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM akan memperhebatkan siasatan berhubung kegiatan pengimportan e-waste secara haram, susulan risikan yang mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama.

Malah, hasil risikan terbaru dijalankan SPRM mendedahkan, warga asing disyaki menjadi dalang mengimport e-waste, plastik dan kertas secara haram untuk diproses bagi tujuan kitar semula.

Ia termasuk pihak berkuasa disyaki bersubahat, berkait kes pencemaran berterusan angkara e-waste dibawa masuk secara haram ke negara ini.

Sebanyak 16 akaun bank dibekukan membabitkan nilai kira-kira RM10.2 juta, selain wang tunai bernilai RM87,000 dan barang kes bernilai kira-kira RM220,000 disita.

Ini dilakukan susulan siasatan dakwaan rasuah dalam pemprosesan e-waste, pembuangan sisa efluen serta buangan berjadual melalui Op Nature.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top