Ops Ihsan selaras bantuan NGO, elak pertindihan

Ops Ihsan selaras bantuan NGO, elak pertindihan

razis@mediaprima.com.my

Bangi: Pelaksanaan Ops Ihsan mampu menyelaras usaha kebajikan dan kemanusiaan membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) supaya lebih bersepadu, tersusun serta memberi impak lebih besar kepada golongan yang memerlukan di dalam atau luar negara.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan bantuan yang disalurkan tidak bertindih serta dapat dimanfaatkan secara maksimum oleh penerima.

Katanya, sebelum ini kebanyakan NGO bergerak secara bersendirian dengan mendapatkan dana daripada pelbagai sumber termasuk kerajaan, sebelum menyalurkan bantuan atas nama organisasi masing-masing.

“Pendekatan berkenaan berpotensi menyebabkan pertindihan bantuan apabila beberapa NGO pergi ke lokasi sama.

“Ops Ihsan diperkenalkan dengan hasrat agar semua bantuan yang disalurkan, sama ada hasil sumbangan kerajaan atau penyumbang, dibawa atas satu nama iaitu Malaysia sebagai simbol kesepaduan dan kebersamaan.

“Dengan membawa satu bendera Malaysia, kita dapat memastikan penyelarasan yang lebih kemas supaya impak bantuan lebih besar,” katanya ketika ditemui dalam program Sesi Libat Urus Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) JAKIM di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, setakat ini, sekitar 20 NGO sudah menyatakan persetujuan untuk bersama-sama JAKIM dalam menjayakan Op Ihsan ini.

“Usaha ini turut membabitkan kerjasama dengan JAKIM dan agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top