151 veteran ATM sertai latihan usahawan tani

151 veteran ATM sertai latihan usahawan tani

hafizithnin@mediaprima.com.my

Serdang: Seramai 151 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mengikuti latihan dalam Program Usahawan Tani Putra-PERHEBAT hasil kerjasama strategik bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak Mac 2023.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program berkenaan kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dan menunjukkan perkembangan positif dari segi penyertaan serta hasil pengeluaran.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, peserta berjaya menghasilkan hampir 24 tan cili dan terung, tiga tan ikan keli serta tujuh tan sun melon menerusi lapan plot latihan yang merangkumi tanaman dan penternakan.

“Program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada veteran dalam aspek penanaman seperti cili, terung, nanas dan melon, malah turut melibatkan sektor penternakan ayam, ruminan serta ikan air tawar.

“Latihan yang diberikan UPM adalah menyeluruh bermula daripada peringkat pembenihan, penjagaan sehingga ke aspek pemasaran produk,” katanya selepas meninjau program berkenaan di sini, hari ini.

Adly berkata, kelebihan kerjasama bersama UPM adalah kepakaran serta teknologi pertanian yang dimiliki universiti itu, sekali gus membantu meningkatkan kemahiran peserta secara lebih komprehensif.

Beliau berkata, tempoh latihan selama enam bulan bagi setiap kumpulan membolehkan dua pengambilan dibuat dalam setahun dan sehingga kini enam kumpulan sudah menamatkan latihan.

“Selain kemahiran teknikal, peserta turut didedahkan kepada kaedah pemasaran moden termasuk penggunaan platform digital bagi memastikan hasil pertanian dapat dipasarkan secara lebih meluas dan berdaya saing,” katanya.

Katanya, pihak kementerian juga memantau perkembangan peserta selepas tamat latihan bagi memastikan mereka terus aktif dalam sektor pertanian sebagai sumber pendapatan baharu.

“Pertanian adalah antara segmen utama yang mendapat sambutan dalam kalangan veteran, walaupun PERHEBAT turut menawarkan pelbagai bidang lain termasuk teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Kerjasama ini akan terus diperkukuh dan kita tidak menolak kemungkinan menambah bilangan peserta serta memperluas penggunaan teknologi dan inovasi dalam bidang pertanian pada masa akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top