harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kira-kira 800 kilogram campuran air garam disembur menerusi Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi menangani masalah paras air di tujuh empangan susulan cuaca kering di beberapa kawasan ketika ini.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataan hari ini berkata operasi itu dilaksanakan menggunakan sebuah pesawat C-130H yang berlepas dari Pangkalan Udara (PU) Subang.
“Operasi ini bagi membantu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menangani masalah paras air di tujuh empangan yang kini berada pada paras amaran berikutan cuaca panas dan kekurangan hujan yang berlaku ketika ini.
“Misi OPA dilaksanakan secara berperingkat bermula hari ini sehingga 15 Februari membabitkan Johor, Kedah dan Perak.
“Hari ini, TUDM bersama MetMalaysia dan NADMA berjaya melaksanakan OPA di Johor membabitkan tiga empangan iaitu Upper Layang, Pulai 1 dan Machap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Operasi OPA bermula dengan proses bancuhan air garam oleh pihak MetMalaysia dan anggota TUDM membabitkan empat tong bancuhan air garam di mana setiap satu mengandungi, 500 liter air dicampur 200 kilogram (kg) garam.
Katanya, misi diketuai Mejar Amirol bersama 11 anak kapal berlepas pada 12 tengah hari dan mula melakukan proses pembenihan pada aras 1,524 meter hingga 2,743 meter pada awan kumulus menjulang.
“Kerjasama ini memperlihatkan komitmen berterusan TUDM dalam melaksanakan operasi ketenteraan selain peperangan (MOOTW).
“Ia juga fungsi sekunder Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya dalam membantu agensi-agensi kerajaan yang lain di dalam pengurusan bencana serta apa jua operasi yang membabitkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




