LGM rampas 50 tan sarung tangan 'reject', sekerap

LGM rampas 50 tan sarung tangan 'reject', sekerap

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lembaga Getah Malaysia (LGM) merampas kira-kira 50 tan sarung tangan getah ditolak dan sarung tangan getah sekerap tanpa permit dalam serbuan ke atas sebuah premis di Permatang Pauh, di Pulau Pinang, hari ini.

LGM dalam kenyataan hari ini berkata premis terbabit dipercayai aktif menjalankan aktiviti membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah yang ditolak dan sarung tangan getah sekerap tanpa permit.

“LGM menyita sarung tangan getah yang berada di dalam jumbo beg dan guni dengan anggaran berat keseluruhan 50 tan termasuk alat penimbang dengan jumlah nilai rampasan dianggarkan melebihi RM230,000.

“Aktiviti ini adalah kesalahan dibawah Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014 di bawah Peraturan 22 (1)(b).

“Tiada seorang pun boleh membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah yang ditolak dan sarung tangan getah sekerap melainkan jika orang itu memegang suatu Permit PST-G,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, LGM akan mempergiatkan aktivit kawal selia membabitkan sarung tangan getah terutama dari segi aspek kualiti selaras dengan status Malaysia sebagai pengeksport terbesar di dunia bagi produk itu.

Katanya, LGM akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha membanteras aktiviti berkenaan.

Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan menerusi melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) LGM (https://lgm.spab.gov.my/eApps/system/index.do).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top