Wanita warga emas huni 'rumah' timbunan sampah diselamatkan JKM

Wanita warga emas huni 'rumah' timbunan sampah diselamatkan JKM

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Wanita yang didapati menghuni ‘rumah’ dibina hasil timbunan sampah di kawasan semak di Jalan Kempas Baru berhampiran Taman Setia Tropika di sini sejak dua minggu lalu diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jurucakap JKM berkata, Unit Penguatkuasaan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Johor Bahru ke lokasi berkenaan pada petang hari ini dan menemukan wanita itu dalam keadaan daif di dalam timbunan sampah berhampiran kawasan belukar.

Menurutnya, pihaknya cuba berkomunikasi dengan wanita berkenaan namun terdapat kekangan berikutan laluan berhampiran kawasan berkenaan sibuk serta bising.

Katanya, situasi itu memaksa pihaknya turun ke bahagian bawah tebing jalan dan mencari jalan untuk menghampiri wanita terbabit.

“Beberapa kali unit ini cuba berkomunikasi dengan wanita berkenaan namun gagal. Wanita berkenaan juga tidak memberikan maklum balas yang baik ketika disoal berkaitan latar belakang dan maklumat pengenalan diri.

“Oleh itu, anggota Bomba dan Penyelamat turut ke lokasi untuk membantu memujuk serta menyelamatkan wanita itu daripada terus menetap di timbunan sampah,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

JKM berkata, pihaknya membuat laporan polis, manakala anggota bomba membawa wanita itu ke Bahagian Daftar Masuk Kecemasan di Hospital Permai untuk mendapatkan rawatan.

Selain itu, menurut JKM, pihaknya menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan memohon bantuan bagi membuat pengesahan biometrik menerusi cap jari wanita berkenaan.

“Hasil pengesahan biometrik mendapati wanita itu dikenali sebagai Siti Sumsiya Muksin berusia 62 tahun dan alamatnya di Teluk Kerang, Pontian. Beliau penduduk tetap berasal dari Indonesia.

“Wanita terbabit diberikan rawatan sementara di Hospital Permai. Usaha bagi mencari keluarga wanita itu akan dijalankan,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan kehadiran wanita berkenaan amat membimbangkan pengguna jalan raya mahupun penduduk di kawasan berhampiran.

Tindakannya melonggok sampah di situ dikhuatiri menjejaskan imej malah boleh mengundang masalah tidak diingini termasuk pembiakan nyamuk serta lalat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top