am@hmetro.com.my
Konsert Rockolusi Kuasa Dua, Azlan & The Typewriter dan Kristal X yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila dua nama besar dalam industri muzik rock tanah air bergabung di pentas buat julung kalinya.
Lebih bermakna, Konsert Rockolusi Kuasa Dua berlangsung hampir tiga jam dan berjaya menarik kira-kira 1,800 penonton itu berjaya membawa penonton menelusuri perjalanan muzik kedua-dua band ini dari era kegemilangan mereka hingga kini.
Tirai persembahan konsert dibuka jam 9 malam dengan penampilan seramai 24 ahli koir muda berbakat dari Noghori Arts School Voice Ensemble (NASVE) yang mempersembahkan empat lagu iaitu Untukmu, Delaila, Jangan Khianati Aku dan Seragam Hitam sekali gus mencuri perhatian penonton.
Kemunculan Azlan & The Typewriter di pentas yang turut mendapat sorakan peminat.
Azlan memulakan persembahannya dengan rangkaian lagu seperti Kelibat Si Penyair, Silap Mata, Lebih Baik Sendiri dan Mesin Waktu.
Persembahan mantap dan bertenaga Azlan diteruskan lagi dengan lagu seperti Secret Shadow, Ada Jiwa dan Teratas.
Menerusi segmen melankoli, Azlan menyampaikan rangkaian lagu iaitu lagu baharunya berjudul Ampun, Ingkar, Jeritan Batinku, Jangan Khianati Aku dan lagu popularnya, Untukmu di mana penonton turut sama menyanyi.
Sebagai penghargaan buat peminat, Azlan memberikan baju yang dipakainya pada penonton.
Tidak cukup dengan itu, Azlan juga memberikan dua gitar kepada peminat bertuah yang juga sumbangan dari penaja.
Selepas persembahan mantap dari Azlan & The Typewriter, pentas diambil alih oleh Kristal X sekali gus mengubat kerinduan peminat terhadap gabungan lagu baharu dan nostalgia yang disampaikan.
Vokalis Kristal X, Lan Solo memulakan konsert dengan lontaran vokal penuh bertenaga ketika menyampaikan lagu rancak seperti Persoalan, Tak Naik Tocang dan Memburu Impian.
Kristal X meneruskan persembahan menerusi rangkaian lagu seperti Pasti Sempurna, Selagi Ada Rindu, Resam Pak Belalang, Cinta Tiga Segi dan Suatu Kenangan.
Menurut Lan, selepas lagu rancak, (goyang kepala), melompat dan menjerit, dia mahu menyampaikan lagu cinta pula.
“Mari kita nyanyi lagu cinta. Rockers pun ada jiwa dik,” katanya.
Tidak ketinggalan, Lan juga mengumumkan penampilan Acap yang juga adik kepada Rody Kristal yang berpengalaman selama 20 tahun menggantikan tempat pemain dram Kristal X iaitu Ainol Eqraf Ramli sebagai pemain dram pada malam itu sekali gus mendapat tepukan gemuruh penonton.
Ternyata, ketiadaan Ainol tidak menjejaskan persembahan mantap kumpulan itu.
Lan juga meminta peminat bangun dan menyanyi bersama pada segmen 60-an dengan rangkaian lagu seperti Tak Mengapa, Zunika, La Obe, Pesta Muda Mudi dan Keindahan Pantai.
Pada babak kemuncak, Lan menjemput Azlan dan koir NASVE ke pentas untuk membuat persembahan bersama.
Mereka juga bergabung untuk sampaikan lagu iaitu Idola, Delaila, Tanda Tanya dan Seragam Hitam 2020.
Menariknya, sepanjang konsert berlangsung peminat yang terdiri dari pelbagai peringkat usia terhibur dan menikmati persembahan itu.
Sokongan mereka membuktikan muzik rock masih hidup dan mempunyai tempat yang istimewa di hati peminat.
Pastinya, konsert ini meninggalkan kenangan dan nostalgia buat mereka yang membesar dengan lagu-lagu dari Azlan & The Typewriter dan Kristal X.
© New Straits Times Press (M) Bhd




