am@hmetro.com.my
Bukit Kayu Hitam: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan serbuan serentak Op E-Cigarette Mega di tiga negeri dan merampas cecair rokok elektronik serta tembakau bernilai keseluruhan RM252,245.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, operasi berskala besar itu membabitkan negeri Kedah, Perak dan Pulau Pinang yang dilakukan serentak bermula jam 12 tengah hari hingga malam kelmarin.
Beliau berkata, operasi itu membabitkan kekuatan 76 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Briged Utara serta Batalion 1,2,3 dan Batalion 18 selain kerjasama strategik bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen negeri berkenaan.
“Dalam serbuan di Kedah, sebuah premis di kawasan Kulim yang dipercayai menjalankan aktiviti memproses dan menyediakan cecair rokok vape diserbu kerana dipercayai beroperasi secara haram.
“Ketika serbuan dilakukan, pemprosesan dan penyediaan cecair vape itu sedang dilakukan.
“Berdasarkan siasatan awal, premis ini dipercayai beroperasi kira-kira empat bulan dan kita menahan seorang lelaki berusia 32 tahun untuk membantu siasatan, ” katanya pada sidang media di Kompeni C, Kompleks PGA Bukit Kayu Hitam, di sini, semalam.
Balveer Singh berkata, pihaknya percaya produk cecair rokok elektronik yang dihasilkan di premis itu dipercayai dipasarkan di sekitar kawasan berhampiran.
Katanya, hasil siasatan juga mendapati, premis terbabit dipercayai beroperasi secara haram tanpa kebenaran serta tidak mematuhi piawaian kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan.
“Dalam serbuan itu, kami turut merampas 65 kotak pelbagai jenama perisa vape di situ dan dirampas untuk siasatan lanjut, ” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya turut menyerbu 22 premis yang membabitkan 11 lokasi di Perak, lapan lokasi di Kedah dan tiga lokasi di Pulau Pinang yang disyaki terbabit dalam aktiviti penyimpanan dan penjualan cecair serta peranti rokok elektronik yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang semasa.
“Seramai 23 individu ditangkap dalam operasi di tiga negeri itu termasuk wanita berusia 21 tahun.
“Bagaimanapun 22 individu lain yang ditahan berusia 20 hingga 45 tahun diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Balveer Singh berkata, jumlah keseluruhan cecair rokok elektronik yang dirampas bersama peranti dalam operasi itu adalah sebanyak 2,684 unit botol, 432 pek produk tembakau serta 34 rokok tembakau seberat 3.08 kilogram (kg).
Beliau berkata, tindakan premis yang diserbu itu sangat berani kerana tidak lagi menjual secara sembunyi dan membuka premis secara terangan walaupun penjualan cecair peranti elektronik itu tidak dibenarkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




