Slug mateenzahra-o
Pasangan Diraja Brunei kongsi potret Puteri Zahra
Muhammad Yusri Muzamir
yusri.muzamir@bh.com.my
Pix ihsan FB/IG Mateen/isteri
Kuala Lumpur : Selepas tiga hari, pasangan Diraja Brunei, Paduka Seri Pangiran Muda Abdul Mateen dan isteri, Paduka Seri Pangiran Anak Isteri Anishsa Rosnah Adam akhirnya berkongsi potret keluarganya di media sosial.
Putera Mateen menerusi muat naik di Instagram malam tadi, berkongsi imej anakanda perempuan, Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah atau dikenali sebagai ‘Princess Zahra’ dalam dakapan baginda.
Menerusi hantaran sama, baginda turut berterima kasih kepada pasukan perubatan Jerudung Park Medical Centre (JPMC), Brunei.
“Beta dan Anisha sangat bersyukur dengan kredibiliti pasukan di JPMC yang luar biasa atas penjagaan serta sokongan, selain menghargai segala ucapan diberikan (sempena kelahiran Puteri Zahra),” titah baginda.
Hantaran membabitkan potret sulung keluarga baginda yang dimuat naik kira-kira jam 9.30 malam tadi, meraih lebih 500,000 tanda suka di Instagram.
Khabar gembira itu turut meraih perhatian masyarakat yang membanjiri media sosial baginda dengan ucapan tahniah serta doa kesejahteraan buat ibu dan puteri yang baharu dilahirkan.
Ahad lalu, Anisha Rosnah dilapor melahirkan bayi perempuan pada jam 8.50 pagi.
Putera Mateen adalah anak ke-10 dan putera keempat, hasil perkahwinan Sultan Hassanal Bolkiah dan bekas isteri baginda, Mariam Abdul Aziz.
Sementara itu, Anisha Rosnah menerusi hantaran di Facebook malam tadi berkata, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, berkenan mengurniakan nama kepada cucunda baginda.
Anisha Rosnah turut memuat naik petikan laporan media Brunei, Radio Televisyen Brunei (RTB News), memaklumkan Kerabat Diraja Brunei berterima kasih kepada semua pihak yang membantu ketika Puteri Zahra dilahirkan.
“Kerabat Diraja Brunei juga berterima kasih kepada semua pihak yang menyampaikan perutusan tahniah dan ucap selamat berikutan kelahiran cucunda baginda,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



