Swansea: Penyanyi rapp terkenal Snoop Dogg, akan menonton perlawanan pertamanya secara langsung bersama Swansea City sejak menjadi pemilik bersama kelab itu pada Julai lalu.
Snoop Dogg, yang kini berada di Itali sebagai jurulatih kehormat Pasukan USA di Sukan Olimpik Musim Sejuk, dijangka hadir ketika Swansea menentangPreston North End pada 24 Februari di Stadium Swansea.com.
“Sejak perbincangan mengenai saya menjadi pemilik, saya tidak sabar untuk berada bersama semua di stadium.
“Saya dengar banyak tentang suasana hebat, terutamanya apabila bermain pada waktu malam. Ketika menonton perlawanan Wrexham pada Disember lalu, bunyi sorakan dari lebih 5,000 batu jauhnya pun sudah kedengaran luar biasa. Saya tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripadanya,” kata Snoop, 54 tahun.
Bintang yang pernah dicalonkan 20 kali Grammy itu juga akan berada di padang sebelum perlawanan untuk memimpin penyokong. Beliau turut dijadual bertemu pemimpin komuniti tempatan.
Beliau menyertai kumpulan pemilik yang turut menampilkan bintang Real Madrid, Luka Modric, dan kini menambah selebriti serta usahawan Amerika, Martha Stewart, bagi meningkatkan profil kelab.
© New Straits Times Press (M) Bhd




