
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini berkata Singapura kini lebih yakin dan berdaya tahan berbanding sebelum ini, dan semakin teguh sebagai satu negara dalam perjuangan memerangi Covid-19.
Dalam menjalani kebiasaan baharu ini, Lee berkata negara-negara yang kekal bersatu, berdisiplin dan menerapkan perlindungan yang munasabah, akan dapat membuka semula ekonomi, kembali terhubung dengan seluruh dunia, membangun dan makmur.
“Singapura akan menjadi sebahagian daripada negara-negara ini,” kata Lee ketika berucap untuk berkongsi maklumat terkini mengenai situasi Covid-19.
Singapura berada di Tahap 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) dari 16 Mei hingga 13 Jun untuk mengurangkan lonjakan kes dalam masyarakat di tengah-tengah usaha membendung varian baharu Covid-19 yang lebih cepat merebak.
Langkah-langkah yang diperketat termasuk hanya membenarkan dua orang dalam perhimpunan sosial dan larangan makan dan minum di gerai serta restoran.
Pada tengah hari Isnin, jumlah keseluruhan kes Covid-19 Singapura adalah 62,028 dengan 33 kematian.
Lee juga berharap Covid-19 akan berkurang, dan menjadi endemik ( penyakit yang sentiasa terdapat pada orang atau daerah tertentu).
“Pandemik global ini akan berkurangan suatu hari nanti, tetapi saya jangkakan Covid-19 tidak akan hilang,” katanya.
Lee berkata virus itu akan terus berada dalam kalangan penduduk dunia untuk tahun-tahun akan datang.
“Ini bermakna kita akan melihat jangkitan yang sedikit dari semasa ke semasa termasuk di Singapura,” katanya.
Perdana menteri berkata, meskipun hidup dengan endemik Covid-19, Singapura tidak akan menutup sempadannya.
“Kita memerlukan makanan, bekalan keperluan, pekerja, perniagaan dan pelancong lain untuk terus bergerak. Kita mesti kekal terhubung dengan dunia, dengan perlindungan dan langkah keselamatan yang berkesan di sempadan untuk memastikan rakyat Singapura selamat.
“Kita tidak akan dapat mencegah mereka yang dijangkiti setiap masa tetapi apabila sebahagian besar penduduk divaksin, kita pasti dapat mengesan, mengasingkan, dan menangani kes-kes yang muncul, dan mencegahnya,” katanya.
Dalam situasi kebiasaan baharu, Lee berkata Covid-19 tidak akan menguasai kehidupan.
“Sempadan kita akan dibuka semula dengan selamat. Pelawat akan kembali ke Singapura. Warga Singapura akan melakukan perjalanan ke negara-negara yang terkawal daripada penyakit ini, terutama jika kita telah divaksin,” kata Lee.
Menggariskan strategi terbaharu untuk fasa memerangi Covid-19 berikutnya, Lee berkata Singapura akan memberikan lebih tumpuan dan bertindak lebih pantas dalam tiga bidang iaitu saringan, pengesanan kontak, dan vaksinasi.
