Hantar mesej lucah, lelaki didenda RM30,000

Hantar mesej lucah, lelaki didenda RM30,000

IPOH: Tindakan seorang lelaki menghantar mesej lucah kepada seorang wanita yang tidak dikenali, membawa padah apabila dia didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Syed Danian Syed Mustapha Basri, 42, juga berdepan hukuman penjara 15 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan dua barang kes iaitu sebuah telefon pintar jenama Vivo model V2048 dan kad sim dilucuthak kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu yang merupakan bekas pengawal keselamatan didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi ‘Messages’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi teks bersifat lucah dengan niat mengganggu orang lain.

Tiga penghantaran mesej lucah itu telah dilihat mangsa di sekitar Bemban, Batu Gajah antara pukul 8.30 pagi pada 13 Disember 2024 hingga 6.45 pagi, 14 Disember 2024.

Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, pertuduhan terhadap OKS dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab dan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nadzirah Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Syed Danian yang berjanji tidak mengulangi perbuatan itu memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman denda minimum atas alasan menanggung tiga anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU).

Bagaimanapun, Fadhli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap lelaki itu mengambil kira kepentingan awam selain mangsa dan tertuduh tidak mengenali antara satu sama lain. – UTUSAN

Scroll to Top