JPN rekod lebih 10,000 kes pendaftaran lewat kelahiran setahun

JPN rekod lebih 10,000 kes pendaftaran lewat kelahiran setahun

hafizthin@mediaprima.com.my

Petaling Jaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan lebih 10,000 kes pendaftaran lewat kelahiran antara 2022 hingga 2025.

KDN mendedahkan sebanyak 12,428 kes direkodkan pada 2022 sebelum meningkat kepada 13,466 kes pada 2023.

Angka itu menurun kepada 12,316 kes pada 2024 dan 10,234 kes pada 2025 manakala sehingga 31 Januari lalu, sebanyak 636 kes sudah direkodkan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, JPN sentiasa komited membantu rakyat yang berdepan masalah dokumentasi agar tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara.

“Dokumen pengenalan diri bukan sekadar sekeping kertas. Ia adalah kunci kepada pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan serta perlindungan hak sebagai warganegara.

“Pada masa ini kerajaan menyediakan 211 pejabat JPN di seluruh negara selain memperkenalkan Pasukan Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bagi memudahkan urusan rakyat terutama di kawasan pedalaman dan golongan rentan,” katanya selepas menyerahkan sijil kelahiran kepada lima kanak-kanak yang tidak mempunyai sijil kelahiran di sini, hari ini.

Dalam masa sama, KDN turut mengalu-alukan pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan strategik dan mata serta telinga kerajaan di lapangan.

“Kerjasama erat antara kerajaan dan NGO mampu mempercepatkan penyelesaian masalah rakyat. Setiap maklumat awal yang disalurkan membolehkan tindakan segera diambil.

“Peranan ibu bapa amat penting dalam memastikan setiap anak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah sejak awal. Kegagalan mendaftarkan perkahwinan atau kelahiran bukan sahaja menjejaskan anak-anak malah boleh mewariskan masalah ketiadaan identiti kepada generasi seterusnya,” katanya.

Menurutnya, setiap permohonan lewat akan diteliti secara terperinci oleh Jawatankuasa Panel berdasarkan pembuktian serta dokumen sokongan yang dikemukakan.

“Kes ini membuktikan tiada siapa yang akan ditinggalkan. Kerajaan akan terus memastikan setiap rakyat mendapat hak mereka tanpa mengira latar belakang dan keadaan hidup,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top