saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bersetuju untuk mencadangkan sistem 15 mata sebagai format pemarkahan rasmi pertandingan.
BAM dalam satu kenyataan berkata, cadangan itu akan dibentangkan untuk undian ahli pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BWF yang dijadualkan berlangsung pada 25 April 2026 di Horsens, Denmark.
Cadangan berkenaan dibuat selepas proses penilaian terperinci selama beberapa tahun yang merangkumi analisis statistik, ujian pertandingan secara langsung, serta perundingan bersama pihak berkepentingan utama dalam komuniti badminton.
Pada mesyuaratnya pada 8 November 2025, Majlis BWF bersetuju sistem 15 mata menawarkan keseimbangan terbaik dari segi keterujaan perlawanan, keadilan persaingan, kebajikan pemain serta persembahan kejohanan.
Sistem berkenaan sebelum ini sudah diuji dalam beberapa kejohanan kebangsaan terpilih serta kejohanan Gred 3, selain digunakan pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia BWF 2025.
“Tanggungjawab kami adalah untuk memastikan badminton terus berkembang, memberi inspirasi dan kekal relevan di setiap peringkat.
“Selepas ujian dan perundingan yang menyeluruh, kami percaya sistem pemarkahan 15 markah menyediakan asas yang kukuh untuk masa depan sukan ini.
“Ia menyokong kebajikan pemain, memastikan perlawanan kekal dinamik serta menarik untuk penonton global, selain membantu badminton menonjol dalam landskap hiburan yang semakin pantas,” kata Presiden BWF, Khunying Patama Leeswadtrakul.
© New Straits Times Press (M) Bhd




