Insiden roboh kuil di Rawang: Pemilik tanah perlu lapor polis sekiranya berlaku pencerobohan

Insiden roboh kuil di Rawang: Pemilik tanah perlu lapor polis sekiranya berlaku pencerobohan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor menetapkan beberapa langkah yang perlu diambil pemilik tanah sekiranya berlaku pencerobohan dan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara langkah berkenaan ialah pemilik perlu membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan dan seterusnya proses pendakwaan dimulakan sekiranya kesalahan pencerobohan dapat dibuktikan.

“Notis perlu dihantar kepada pihak penceroboh dan perkara itu dimaklumkan secara rasmi kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang mana Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah juga diaktifkan di semua daerah di Selangor.

“JKD akan bertindak sebagai pengantara dengan memanggil semua pihak berkepentingan termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, PDRM dan PBT bagi mencari penyelesaian yang munasabah.

“Sekiranya usaha itu tidak mencapai kata sepakat, JKD akan menasihatkan pemilik tanah untuk meneruskan tindakan melalui proses mahkamah.

“Pendekatan itu diambil bagi memastikan setiap tindakan membabitkan pihak berkuasa serta mengelakkan sebarang insiden yang boleh mencetuskan ketegangan atau rusuhan daripada berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Panglima Markas 11 Briged, Yang Dipertua (YDP) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pegawai Daerah bagi membincangkan tahap keselamatan awam negeri.

Amirudin berkata, mesyuarat berkenaan diadakan petang tadi susulan insiden membabitkan rumah ibadat di Rawang yang menimbulkan silang pendapat daripada pelbagai pihak selain mencetuskan kegusaran masyarakat.

Katanya, ketika ini PDRM sedang menyiasat insiden berkenaan dan akan melalui proses undang-undang yang sewajarnya.

“Secara keseluruhan, terdapat dua isu utama membabitkan rumah ibadat yang tidak sah iaitu rumah ibadat yang menduduki tanah milik kerajaan negeri dan rumah ibadat yang didirikan di atas tanah milik persendirian.

“Bagi isu pertama, saya sudah mengarahkan supaya prosedur yang sedang diguna pakai di peringkat kerajaan negeri dipertingkatkan dan tindakan segera di peringkat PBT serta pengukuhan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Jawatankuasa LIMAS yang lebih jelas.

“Untuk rumah ibadat yang menduduki tanah milik persendirian pula, proses sedia ada memerlukan pemilik tanah untuk melantik peguam untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan sebarang pengosongan dan perobohan berlaku.

“Semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah. Ini berdasarkan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkait tanah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top