am@hmetro.com.my
Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menemukan sebuah aliran air keluar yang disyaki menjadi punca ribuan ikan mati di Sungai Ramal, Kajang.
LUAS berkata, pihaknya menerima maklumat yang tular di laman sosial jam 12 tengah hari semalam.
Menurutnya, siasatan segera dilakukan yang mana pencemaran itu berpotensi menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) berhampiran iaitu Bukit Tampoi pada jarak 20 kilometer.
“Siasatan di RES TRESS Country Heights menemukan satu aliran air keluar yang memasuki kolam di kawasan terbabit disyaki menyebabkan kematian ikan.
“Semakan lanjut mengesyaki aliran berpunca daripada kawasan Perindustrian Balakong Jaya yang terletak di bahagian hulu kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
LUAS berkata, pihaknya kemudian melakukan persampelan kualiti air dan dihantar ke makmal untuk analisis lanjut.
“Kami seterusnya menyusun tindakan semakan berperingkat di kawasan Perindustrian Balakong Jaya bagi mengenalpasti aliran yang berpotensi menghala ke kawasan RES TRESS Country Heights mengambil kira keluasan kawasan perindustrian dan jumlah premis yang banyak berserta aliran pelepasan yang pelbagai.
“Kami juga dalam proses mengeluarkan notis pematuhan Zero Discharge Policy (ZDP) kepada premis di kawasan itu sebagai kawalan dan pencegahan jangka masa panjang,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan sejumlah ikan mati selain seekor bangkai ular sawa dilihat terapung di sungai terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




