Kuala Lumpur: Lima syarikat Malaysia bakal memuktamadkan urus niaga dengan nilai keseluruhan menghampiri RM2 bilion sempena Makkah Halal Forum 2026 di Arab Saudi pada 14 hingga 16 Februari ini.
Lima syarikat itu ialah Jaman Tory Group Sdn Bhd, A&A Empire Sdn Bhd (Bokitta), Agro 19 Berhad, Ramly Food Processing Sdn Bhd dan Ayamas Integrated Poultry Industry Sdn Bhd.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSOKOP) melalui Bank Rakyat sedang melaksanakan program bimbingan dan pengupayaan, memadankan perniagaan Malaysia dengan pasaran export sehingga berjaya.
“Program kali ini berjaya membantu syarikat Malaysia merealisasikan potensi nilai jualan hampir RM2 bilion melalui platform itu,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Arab Saudi yang menerima kira-kira 30 juta pelawat antarabangsa setiap tahun merupakan pasaran strategik dan pintu masuk penting untuk memperkenalkan produk serta jenama Malaysia kepada komuniti global khususnya dalam ekosistem halal yang sedang berkembang pesat.
KUSKOP melalui kenyataan sama memaklumkan Bank Rakyat sebagai agensi di bawah kementerian itu telah menyokong inisiatif ini melalui penyediaan kemudahan pembiayaan bagi memperkukuh keupayaan kewangan syarikat terlibat di dalam melaksanakan pengembangan pasaran perniagaan masing-masing ke Timur Tengah.
“Kelima-lima syarikat ini juga merupakan pelanggan sedia ada di dalam ekosistem Bank Rakyat dan dipilih berdasarkan tahap kesediaan eksport serta potensi pertumbuhan di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Katanya, program rintis ini akan diteruskan dalam membimbing PMKS Malaysia yang lain untuk menembusi pasaran domestik dan luar negara.
“Ini adalah sejajar dengan Strategi ABCD yang diperkenalkan baru-baru ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




