norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Sharifah Amani, 40, memaklumkan kakaknya, Sharifah Aleya, 44, berada dalam keadaan baik ketika berkongsi berita mengenai perceraian yang berlaku di media sosial.
Sharifah Amani atau nama sebenar, Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya ditemui berkata, dia sendiri juga memang sudah tahu lama mengenai perceraian kali kedua kakaknya itu.
“Oh dah lama tahu (perceraian Sharifah Aleya). Dia ‘soulmate’ (belahan jiwa) saya. Sekarang Alhamdulillah, keadaan dia okay.
“Tapi, dia pun dah habis tempoh idah dan baru dikongsikan di media sosial,” katanya ringkas kepada media berhubung pengumuman perceraian dibuat Sharifah Aleya itu.
Semalam, Sharifah Amani atau mesra disapa Nani hadir pada majlis sidang media telefilem Fantasi Fiksi lakonannya yang diarahkan oleh Tam Suhaimi serta disiarkan di UTV.
Terdahulu, Sharifah Aleya yang juga pelakon dan penyampai radio mengumumkan sudah bercerai dengan suami, Mohammad Azam Abdullah atau lebih dikenali Miko.
Menerusi hantaran dimuatnaik di Instagram (IG) semalam, Aleya atau nama sebenar, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al-Yahya memaklumkan dia juga sudah habis tempoh idah.
Sharifah Aleya bagaimanapun tidak memperincikan tarikh sebenar perceraiannya dan bekas suami termasuk punca perpisahan itu berlaku.
Sebelum ini, Sharifah Aleya dan Miko mendirikan rumah tangga pada Januari 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ali Abdullah, 11, dan Ahyan Abdullah, 9.
Pada Disember 2007, Sharifah Aleya pernah berkahwin dengan Muhd Ashraf Aasimuddin, namun mereka berpisah pada Februari 2012 dan diikurniakan anak kembar, Aza Ameena dan Asha Ameena, 17.
© New Straits Times Press (M) Bhd




