IPOH: Harga barangan keperluan asas dijangka mengalami kenaikan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan kerana peniaga perlu menampung kos bayaran kerja lebih masa pekerja pada musim perayaan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong berkata, begitupun kenaikan itu perlu dibuat dalam kadar yang kecil supaya tidak membebankan pengguna.
“Saya faham peniaga kena bekerja waktu Tahun Baharu Cina, memang ada yang akan menaikkan harga sikit-sikit.
“Kalau kenaikan itu kecil untuk menampung kos kerja lebih masa dalam musim Tahun Baru Cina, tiada masalah, tapi janganlah menaikkan harga secara mendadak,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran dan Sesi Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di Pasar Besar Ipoh di Ipoh hari ini.
Katanya, kenaikan mendadak harga barangan juga akan menyebabkan ramai pengguna akan terjejas termasuk pelancong.
“Saya rasa peniaga yang naikkan harga secara mendadak, pada tahun-tahun yang akan datang mungkin pelancong pun tak akan pergi kedai mereka lagi.
“Ini adalah satu contoh di mana untung seketika tapi rugi seumur hidup. Saya nasihatkan supaya jangan menaikkan harga secara mendadak dalam Tahun Baharu Cina ataupun Raya Aidilfitri,” katanya.
Berhubung bekalan makanan keperluan asas menjelang musim perayaan, Kah Leong berkata, isu itu tidak timbul kerana ia mencukupi setakat ini.
“Malah ada yang lebih daripada apa yang perlu. Saya rasa selagi bekalan itu cukup, maknanya harga barangan (peniaga) tak ada ruang, peluang untuk dinaikkan harga secara mendadak.
“Saya rasa memastikan kecukupan bekalan itu sangat penting sebab itu KPDN Perak melalui berpuluh-puluh cawangan di seluruh Perak, memang kita akan jalankan penguatkuasaan ataupun pemeriksaan setiap hari,” katanya. – UTUSAN




