am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang Ahli Parlimen kerajaan mengemukakan usul bagi memohon Dewan Rakyat membahaskan isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, usul itu sudah dikemuka ke pejabat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul semalam.
“Ya, saya sudah menyerahkan usul itu kira-kira jam 1.35 petang kepada pejabat Speaker untuk mengetahui, antara lain, jika siasatan akan dimulakan berhubung dakwaan terhadap Azam mengenai pemilikan saham dalam syarikat Velocity dan Awanbiru.
“Saya berharap usul ini akan diputuskan secepat mungkin,” katanya yang dihubungi hari ini.
Pada 2022, Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming juga pernah mengemukakan usul supaya Parlimen membahaskan pegangan saham Azam dalam sebuah syarikat tersenarai awam.
Tindakan Kor Ming itu hadir selepas Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Mengenai Rasuah, Tan Sri Rais Yatim pada ketika itu meminta supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM terbabit bercuti, sementara siasatan dijalankan.
Namun Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Tan Sri Azhar Azizan Harun menyatakan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tidak membenarkan pendengaran terbuka dilakukan.
Sebelum ini, sebuah portal antarabangsa melaporkan Azam, 62, dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.
Namun, pada Rabu, Azam menafikan masih memegang saham dalam mana-mana syarikat dan menyifatkan laporan yang dikeluarkan media antarabangsa itu berniat jahat.
Susulan penyiaran laporan media antarabangsa itu, Azam mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg berhubung laporan yang disifatkannya ‘mengelirukan’ dan ‘berunsur fitnah’ sehingga mencetuskan protes menuntut meletakkan jawatan.
Sementara itu, pejabat Speaker Dewan Rakyat yang dihubungi bagi mendapatkan penjelasan berhuhung usul itu masih belum memberi sebarang maklum balas.
Sidang Dewan Rakyat dijadual akan bersambung semula 23 Februari depan berikutan cuti sempena Tahun Baharu Cina dan permulaan Ramadan minggu depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



