Presiden FAM perlu lali kritikan, jangan 'kembang' dengan pujian

Presiden FAM perlu lali kritikan, jangan 'kembang' dengan pujian

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemerhati bola sepak tempatan, Azlan Johar menegaskan walaupun siapapun memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) harus memiliki jiwa besar terutama dalam menerima kritikan daripada peminat bola sepak.

Azlan yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, kritikan adalah sebahagian daripada rencah kehidupan khususnya apabila menerajui sebuah badan induk sukan yang besar seperti FAM.

“Saya pernah bergelar pemain, jurulatih, jawatankuasa pertandingan, instruktor dan juga pernah jadi Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Rakyat, semuanya terdedah kepada kritikan, jika Presiden FAM lagilah, menjadi tumpuan jika ada isu bola sepak negara.

“Biasalah dalam sukan ini, kritikan daripada peminat memang tak lari. Kadang-kadang pujian, kadang-kadang kritikan, kita harus terima.

“Namun, kalau kita hidup dalam dunia sukan, kita tidak boleh dikritik, ditegur atau sebagainya dan hanya mahukan pujian, bagaimana kita nak memajukan sukan itu.

“Kita sendiri sebagai individu yang memimpin, bagaimana kita ingin mengetahui kelemahan kita? Orang kritik, kita ambil yang positif walaupun kritikan itu pedih dan pahit. Pemimpin harus terbuka dan adil,” katanya.

Mengulas mengenai banyak pihak yang mencadangkan nama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Presiden FAM, Azlan turut menyokong sepenuhnya jika baginda kembali menerajui badan induk itu.

“Ketika FAM diterajui Al-Sultan Abdullah dan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah, saya berasa tidak banyak isu besar yang melanda bola sepak negara, sebab kedua-duanya berwibawa.

“Saya menyokong mereka bukan atas sebab lain, saya tengok atas kesan-kesan daripada kepimpinan mereka dahulu yang mana semuanya berjalan dengan teratur, liga kita cantik, peminat datang memenuhi stadium.

“Kritikan ada, mana ada persatuan tidak dikritik, tapi mereka terima, tidak melenting. Sebab mereka tahu bola sepak hak rakyat dan baginda juga berjiwa rakyat. Mereka tak pernah mengeluarkan kata-kata berapa banyak duit yang mereka belanja untuk bola sepak negara.

“Saya difahamkan jutaan ringgit duit sendiri yang dikeluarkan mereka untuk bola sepak. Itu semua tandanya apa? Sebab mereka benar-benar cintakan bola sepak,” katanya.

Pemilihan baharu bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM dijangka pertengahan tahun ini selepas proses penilaian dan bedah siasat selesai dilakukan ‘Pasukan Petugas Khas’ Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan bermula minggu lalu.

Sebelum ini, kesemua Exco FAM meletakkan jawatan secara ‘berjemaah’ bagi memberi laluan kepada proses penilaian dilaksanakan sekali gus mengelak daripada digantung oleh FIFA ekoran kelemahan urus tadbir susulan isu pemalsuan dokumen babitkan tujuh pemain negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top