kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia (MPPM), komited memainkan peranannya sebagai jambatan strategik antara kerajaan dan komuniti industri dalam usaha memperkukuh ekosistem perniagaan serta meningkatkan daya saing ekonomi negara.
Presiden MPPM, Prof. Zam@Ab Razak Zamri berkata, kerjasama erat dan dialog berterusan antara kerajaan dan pemain industri amat penting bagi memastikan dasar yang dirangka selari dengan keperluan sebenar dunia perniagaan.
Katanya, MPPM berperanan menyampaikan pandangan serta cabaran industri kepada kerajaan secara teratur dan konstruktif, di samping membantu industri memahami serta melaksanakan dasar kerajaan dengan lebih berkesan.
“Penyatuan suara industri, khususnya membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perlu dilaksanakan secara berfakta dan berorientasikan penyelesaian.
“Ini supaya isu seperti kos operasi, akses pembiayaan, pembangunan modal insan dan pendigitalan dapat ditangani secara holistik,” katanya dalam kenyataan sempena Majlis Anugerah Industry Specialist (IS) 2026 , baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Dalam ucapannya, Noraini berkata, kerajaan melihat pengiktirafan kepakaran industri sebagai elemen penting dalam memperkukuh daya saing perniagaan negara, khususnya dalam berdepan persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar dan dinamik.
Katanya, usaha menghargai sumbangan pakar industri mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem perniagaan yang lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif.
“Dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar dan kompetitif, kepakaran tempatan yang kukuh adalah aset penting negara dalam merebut peluang baharu serta mengharungi perubahan pasaran yang pantas,” katanya.
Beliau berkata, kepentingan kerjasama berterusan antara kerajaan, sektor swasta dan badan profesional seperti MPPM bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang mampan, dinamik dan berdaya tahan.
“Industri masa kini memerlukan kepakaran yang bersifat praktikal dan boleh diaplikasikan secara langsung, bukan hanya berteraskan teori semata-mata, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan di lapangan,” katanya.
Selain itu, Zam berkata sehingga kini MPPM sudah menganugerahan hampir 200 penerima IS yang merangkumi pelbagai bidang utama termasuk kecerdasan buatan (AI), kesenian, keusahawanan, teknologi dan inovasi sejak 2024.
Menurutnya, setiap IS mempunyai kepakaran masing-masing dan anugerah itu turut menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan strategik antara kerajaan dan industri dengan menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri serta komuniti perniagaan dalam satu majlis pengiktirafan.
“Anugerah ini mencerminkan kesepakatan bahawa kejayaan ekonomi negara adalah hasil kerjasama bersama antara kerajaan dan industri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




