Polis KL perhebat pemantauan 'hotspot', 'blackspot' sempena Tahun Baharu Cina

Polis KL perhebat pemantauan 'hotspot', 'blackspot' sempena Tahun Baharu Cina

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur memperhebat pemantauan di kawasan ‘hotspot’ dan ‘blackspot’ trafik bagi mengurangkan kesesakan termasuk pencegahan jenayah sempena Tahun Baharu Cina melalui Op Selamat 25, bermula 15 hingga 20 Februari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, operasi berkonsepkan Pre-Emptive Services dan Total Enforcement itu melibatkan seramai 337 pegawai dan anggota dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa.

“Antara agensi terlibat ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), St John Ambulans, Malaysian Crime Prevention Foundation serta tujuh konsesi lebuh raya.

“Pelaksanaan Op Selamat 25 memberi tumpuan kepada pengurangan kesesakan lalu lintas sepanjang musim perayaan selain penguatkuasaan tegas terhadap kesalahan trafik yang menjadi punca kemalangan, khususnya kemalangan maut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026, di Pavilion Bukit Bintang, di sini, hari ini.

Katanya, pemantauan menerusi Op Lancar akan dijalankan di 15 ‘blackspot’ sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya dan 30 ‘hotspot’ di Kuala Lumpur selain melakukan rondaan, kawalan trafik dan pemantauan kelajuan.

Mengulas lanjut, Fadil berkata, operasi ini turut memberi tumpuan kepada pencegahan jenayah pecah rumah, berikutan peningkatan kes sepanjang musim perayaan.

“Objektif utama operasi adalah meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya, menurunkan kadar kemalangan dan kematian serta memastikan aliran trafik sentiasa lancar.

“Pada masa sama, kita mahu mengurangkan risiko jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan dengan meningkatkan rondaan dan pemantauan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya memastikan rumah dalam keadaan selamat sebelum meninggalkan kediaman untuk bercuti.

Dalam pada itu, Fadil turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang serta mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kemalangan.

“Kita mahu semua masyarakat membantu pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top