LONDON: Arsenal diingatkan agar tidak terlalu memikirkan bayang-bayang Manchester City yang semakin menghimpit mereka di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).
Perancangan tengah The Gunners, Declan Rice mahu pasukannya kekal fokus dan tidak terpengaruh ‘anasir luar’ luar selepas sekadar seri 1-1 menentang Brentford, semalam.
“Ia satu musim seperti ‘rollercoaster’, anda tidak boleh naif dan fikir ia akan mudah.Kami menentang pasukan terbaik setiap minggu. Kami perlu terus mendesak dan percaya kepada diri sendiri, kawal apa yang boleh kami kawal.
“Kami perlu abaikan bunyi bising di luar. Kami lakukan perkara itu dengan baik. Orang akan bercakap mengenai perebutan kejuaraan, tetapi kumpulan ini amat tenang.
“Saya tidak naif untuk fikir Brentford mudah ditewaskan. Mereka antara pasukan terbaik liga dan prestasi terkini membuktikannya. Ia satu mata dalam perjalanan kami, tetapi kami mahu menang,” katanya.
Keputusan seri itu menyaksikan City kini hanya empat mata di belakang Arsenal, sekali gus menambah tekanan dalam perlumbaan kejuaraan yang semakin memuncak.
Lebih merisaukan, skuad kendalian Pep Guardiola itu memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri apabila kedua-dua pasukan dijadual bertembung April depan.
Arsenal yang memburu gelaran liga pertama dalam tempoh 22 tahun sebelum ini tampak selesa apabila mendahului sembilan mata, namun kebangkitan dramatik City menewaskan Liverpool 2-1 hujung minggu lalu mengubah landskap persaingan.
Situasi semakin mencabar apabila City meneruskan rentak kemenangan dengan membelasah Fulham 3-0, sedangkan Arsenal gagal memanfaatkan peluang untuk melebarkan jurang.
Dalam aksi di barat London, pelawat terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Noni Madueke, namun tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan hasil sentuhan Keane Lewis-Potter dan Brentford hampir meraih tiga mata penuh dalam 20 minit terakhir permainan.-AGENSI



