Shanghai: Rakaman tular di media sosial China, baru-baru ini, menunjukkan lubang benam bersaiz besar di sebuah tapak pembinaan di barat daya Shanghai, yang menelan sebahagian jalan raya dan struktur berhampiran sebelum kawasan itu dipenuhi air dengan pantas.
Memetik laporan Channel News Asia (CNA), kejadian tanah jerlus itu berlaku sehari selepas pekerja menemukan kebocoran air semasa kerja penggalian bagi laluan metro pada malam Rabu lalu.
Pihak berkuasa berkata, walaupun usaha dilakukan untuk menampal kebocoran itu, tanah di kawasan berkenaan tetap runtuh pada Khamis.
Kejadian berlaku di persimpangan Jalan Qixin dan Jalan Li’an, yang kini ditutup sepenuhnya kepada lalu lintas dan pejalan kaki.
Kru pembinaan sedang menyiapkan Stesen Jalan Qixin baharu yang akan menghubungkan daerah Minhang ke daerah Jiading di utara.
Stesen itu adalah sebahagian daripada laluan metro Jiamin sepanjang 44 kilometer (km) yang mula dibina pada pertengahan 2021, dan dijadualkan siap pada 2027.
Pihak berkuasa Shanghai memaklumkan, setakat ini, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan, namun bangunan pejabat dan kompleks kediaman berhampiran dikosongkan, menurut laporan laman berita Caixin Global.
Sebuah hospital tempatan berhampiran tapak berkenaan turut menggantung operasi pada Khamis lalu, dan hanya akan menyambung semula perkhidmatan selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Beberapa video menunjukkan permukaan jalan merekah sebelum runtuh, ketika pekerja dilihat berlari untuk menyelamatkan diri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




