MPT BERSATU beri mandat kepada Muhyiddin pilih Ketua Pembangkang

MPT BERSATU beri mandat kepada Muhyiddin pilih Ketua Pembangkang

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU memberi mandat penuh kepada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menentukan siapa yang akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang yang baharu.

Ketika ditanya sama ada MPT ada menyerahkan senarai pendek kepada Presiden, Ahli MPT Datuk Seri R Sanjeevan berkata, mereka tidak memberikan sebarang senarai kepada pemimpin parti itu.

“Tidak ada (senarai), kita hanya bagi mandat kepada Tan Sri untuk pilih,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Khas MPT BERSATU, hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan wujud gerakan tertentu susulan pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, beliau berkata Ahli Parlimen Larut itu tidak lagi mempunyai kedudukan dalam parti.

“Dia sudah dipecat daripada parti, jadi beliau tidak lagi mempunyai ‘locus standi’ (hak) untuk bercakap bagi pihak BERSATU atau menjadi suara parti.

“Apa yang beliau mahu lakukan selepas ini adalah hak beliau. Sama ada mahu menubuhkan parti baharu, mengambil alih parti lain atau menyertai mana-mana parti, itu terpulang kepadanya.

“Tetapi setakat ini, beliau bukan lagi Timbalan Presiden dan bukan juga ahli parti. Parti sudah membuat keputusan, dan itu muktamad,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top