PETALING JAYA: Penyanyi, Iman Troye, 23, memaklumkan dia lebih selesa membeli sendiri pakaian diinginkannya berbanding menerima tajaan mana-mana jenama tempatan.
Kata Iman atau Siti Nur Alyssa Sahabudin, langkah itu sebagai tanda sokongan kepada produk pakaian dalam negara.
“Jika diamati, baju yang saya pakai dalam video muzik atau ketika membuat persembahan adalah yang saya beli sendiri.
“Bukan saya menolak tajaan, tetapi saya hargai koleksi yang dikeluarkan jenama tempatan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Jika berkenan, saya akan beli.
“Saya menyokong dengan membeli koleksi pakaian keluaran tempatan,” katanya sempena majlis KWC Raya Fashion Show Wholesale, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Disoal mengenai penampilan sempena Hari Raya Aidilfitri, Iman mengakui selesa menggayakan busana klasik setiap kali tiba perayaan tersebut.
“Saya gemar memakai pakaian klasik pada hari raya. Pada saya fesyen itu melambangkan perayaan itu selain sinonim sebagai identiti Melayu,” ujarnya.
KWC Fashion Wholesale dalam pada itu memeriahkan sambutan Ramadan dan hari raya ini menerusi Kempem Raya 2026 yang bermula 19 Februari ini.
Pengunjung berpeluang menikmati pelbagai pilihan busana hari raya untuk wanita, lelaki dan kanak-kanak dan menikmati promosi beli dan tebus dengan hadiah eksklusif sepanjang kempen ini berlangsung.




