Beri khidmat gunting rambut percuma, Aufa Azfar niat saya nak beramal

Beri khidmat gunting rambut percuma, Aufa Azfar niat saya nak beramal

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Niat saya nak beramal dan seronok kerana dapat pengalaman baharu dan manfaatkan kemahiran yang ada untuk bantu orang lain.”

Itu kata Mohamad Aufa Azfar Mohamad Hairul, 24, atau mesra disapa Aufa ketika berkongsi inisiatifnya yang menawarkan khidmat gunting rambut percuma di jalanan.

Menurut Aufa, dia kini bekerja sebagai tukang gunting rambut di sebuah premis di Kota Damansara dekat Petaling Jaya, Selangor jadi hanya menawarkan khidmat percuma itu pada hujung minggu.

Dia yang menetap di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor berkata, inisiatif itu bermula pada bulan lalu dan diteruskan kerana seronok dengan apa yang dilakukan.

“Saya dapat inspirasi daripada seorang tukang gunting rambut di luar negara, VicBlends yang bermula dengan beri khidmat potong rambut percuma kepada orang tak dikenali.

“Impaknya sangat besar kerana akhirnya dia dapat undangan Barack Obama (bekas Presiden Amerika Syarika) sebagai tetamu di sesi audio siar kendaliannya.

“Kejayaannya itu yang beri semangat untuk saya cuba buat. Saya tak berseorangan kerana ditemani seorang rakan, Jumadil K (27) sebagai juruvideo dan dia juga tukang gunting rambut.

“Awalnya kami ke tapak papan selaju di Bandar Utama, Petaling Jaya dan takut juga nak dekati orang tapi kebetulan, saya pun pemain (papan selaju) jadi lebih mudah nak dekati mereka.

“Kemudian, saya dengan Jumadil ke Ampang Park dan kami bawa bersama peralatan seperti mesin dan pengering rambut tanpa wayar untuk mudahkan kerja,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sebuah pusat beli belah dekat sini.

Aufa berkata, dia menawarkan khidmat potongan asas kerana lebih mudah dan cepat.

Katanya, kebanyakan individu didekati memberi maklum balas yang baik dan tidak menolak pelawaannya.

“Tapi ada juga yang nampak takut bila saya dekati mereka dan tolak pelawaan saya walaupun nak gunting rambut dengan percuma kerana tiada masa.

“Pernah juga saya dengan rakan dihalau oleh pengawal keselamatan kerana salah kami juga sebab tak tahu taman itu kawasan larangan.

“Itu belum lagi pergi waktu panas terik dan hujan tapi saya anggap ia sebagai pengalaman yang mahal kerana sambil potong rambut, saya dapat bersembang serta dengar kisah mereka.

“Kalau boleh, saya nak teruskan dan jika ada rezeki lebih mahu jelajah satu Malaysia termasuk ke rumah anak yatim,” katanya.

Bercerita lanjut, Aufa berkata, dia memiliki Diploma Kejuruteraan Mekanikal lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) namun bekerja sepenuh masa sebagai tukang gunting rambut selepas tamat pengajian kerana minat.

Katanya, keluarga terutama ibu, Noridawati Ismail, 49, dan bapanya, Mohamad Hairul Husein, 49, agak ragu pada awalnya namun kini memahami malah menyokong minatnya.

“Saya mula minat bidang ini sejak di Tingkatan Empat lagi dan percubaan pertama saya adalah potong rambut kawan.

“Tapi selepas sekolah, saya sambung pengajian peringkat diploma atas nasihat ibu dengan babah (gelaran untuk bapa) yang nak saya ada kelulusan.

“Waktu belajar, saya ada cari duit poket dengan ambil upah gunting rambut ketika masa lapang dan kerja di kedai (gunting rambut) ketika cuti semester.

“Daripada situ, saya dapat pengalaman dan nekad jadi tukang gunting rambut selepas tamat pengajian sebab minat walaupun keputusan waktu belajar agak baik,” katanya.

Aufa mengakui ada yang tidak menyangka dengan haluan dipilihnya namun dia yakin buat keputusan yang tepat dan paling penting kena dengan jiwanya.

“Ada yang terkejut saya tak sambung belajar malah ibu bapa saya sendiri tak yakin bila kata nak jadi tukang gunting rambut tapi bagi saya, saya berjaya dengan kerjaya ini jika bersungguh.

“Lagipun, ini bidang yang saya minat dan kemahiran gunting rambut sangat istimewa seni kerana salah satu cabang seni yang bukan semua orang ada,” katanya yang turut berkongsi video perjalanan sebagai tukang gunting rambut jalanan di TikTok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top