Kuala Lumpur: Tan Sri Noh Omar mengumumkan meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkuat kuasa hari ini.
Menerusi perkongsian video di laman Facebook, beliau berkata keputusan itu diambil susulan tindakan Lembaga Disiplin parti yang disifatkan tidak menghormati keputusan mesyuarat MPT pada 12 Januari lalu, yang menetapkan agar tindakan disiplin terhadap ahli ditangguhkan.
Menurut Noh, MPT ketika itu membuat ketetapan bahawa tindakan hanya akan dikenakan kepada ahli yang membuat kenyataan bercanggah dengan keputusan mesyuarat dan bukan terhadap kenyataan yang dibuat sebelum mesyuarat berkenaan.
“Persoalannya, mengapa Lembaga Disiplin terus mengambil tindakan disiplin terhadap ahli-ahli Bersatu? Adakah Lembaga Disiplin tidak menghormati keputusan Majlis Tertinggi? Apa guna MPT, badan tertinggi parti bermesyuarat, tetapi keputusan MPT tidak dihormati oleh Lembaga Disiplin?
“Apabila keputusan MPT telah dibuat untuk menangguh semua tindakan disiplin terhadap ahli-ahli yang terlibat, sepatutnya tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap mereka yang membuat kenyataan sebelum mesyuarat MPT,” katanya.
Keputusan perletakan jawatan Noh dipercayai berkait dengan tindakan Lembaga Disiplin Bersatu memecat 17 ahli parti, termasuk Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin, setakat semalam.
Menurut Noh, MPT telah menubuhkan Jawatankuasa Pengukuhan Parti yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Rais Yatim bagi memulihkan perpaduan dalam parti, namun Lembaga Disiplin didakwa terlebih dahulu mengambil tindakan terhadap ahli terlibat sebelum usaha itu dilaksanakan.
“Memang setiap parti mempunyai hak mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli, tetapi tindakan disiplin ini mesti diambil mengikut peraturan dan perlembagaan parti. Tiada siapa mengatasi undang-undang, ini prinsip saya.
“Dan kalau MPT ingin ‘overrule’ (menolak) keputusan yang telah dibuat pada 12 Jan dan mahu Lembaga Disiplin terus mengambil tindakan, sepatutnya satu mesyuarat khas mesti diadakan untuk MPT ‘overrule’ keputusan penangguhan tindakan disiplin.
“Tetapi tiada mesyuarat diadakan, tiba-tiba Lembaga Disiplin terus mengambil tindakan, termasuk terhadap mereka yang membuat kenyataan sebelum itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




