khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat akan diumumkan kemudian.
Hamzah yang dipecat keahliannya oleh BERSATU berkata, Ahli Parlimen Pembangkang akan menentukan siapa yang akan dipilih bagi memegang jawatan itu.
“Mungkin saya tak perlukan strategi (memanggil berapa jumlah Ahli Parlimen menyokong ke jawatan Ketua Pembangkang).
“Tetapi sekiranya saya kekal sebagai Ketua Pembangkang, ia menunjukkan mereka (Ahli Parlimen Pembangkang) bersama dengan saya,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), hari ini.
Menyentuh mengenai pertemuannya bersama PAS termasuk Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam, Hamzah menjelaskan, mereka bertanyakan mengenai jumlah Ahli Parlimen BERSATU bersama dan menyokongnya.
“Mereka bertanya saya, berapa Ahli Parlimen yang bersama dengan saya? Setakat ini, termasuk diri saya sendiri sudah pun diumumkan tadi, 19 Ahli Parlimen daripada BERSATU.
“Jadi kalau dah 19 daripada 25 Ahli Parlimen, saya (mempunyai) majoriti daripada BERSATU,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah turut mengumumkan bahawa beliau kini adalah penentang nombor satu Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas dirinya dipecat semalam.
Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan mengenai perkara berkenaan, sebaliknya menyatakan akan membuat satu temubual eksklusif bersama beberapa media.
“Bila saya timbulkan sesuatu, saya akan cerita apa yang sebenarnya berlaku. Saya akan panggil beberapa orang daripada anda untuk ada temubual secara ekslusif,” katanya.
Hamzah juga menegaskan, beliau tidak akan mencabar di mahkamah berkait keputusan BERSATU yang bertindak memecatnya.
“Buat apa? Biarkanlah.. parti itu Muhyiddin yang punya. Dia memiliki parti itu dan memberitahu kepada semua bahawa parti itu miliknya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




