mdroji@bh.com.my
Kuching: Formula pengagihan peruntukan kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan sudah dipersetujui di peringkat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebelum ini Kementerian Kewangan (MOF) sudah mengadakan perbincangan dengan Sabah dan sesi libat urus yang sama akan diadakan bersama Sarawak dalam masa terdekat.
“Memang perkara itu (formula agihan) dipersetujui di peringkat Majlis Tindakan MA63 kerana Sarawak sudah mengemukakan formula cadangan mereka.
“MOF juga akan menilai perkara itu daripada sudut pandang dan kepentingan nasional sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengagihan Geran Tahunan Untuk Masjid dan Surau Parlimen Petra Jaya di Masjid Darul Ibadah, Semariang Lama, di sini, malam ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan MOF bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengadakan rundingan bersama dengan kerajaan Sarawak tahun ini bagi melaksanakan semakan semula amaun pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Menurut kenyataan itu, ia bagi merumuskan kaedah baharu yang menentukan perkiraan pemberian khas pada masa depan dengan mengambil kira pertimbangan keperluan kerajaan Sarawak berhubung kos perkhidmatan negeri serta kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan selaras dengan peruntukan Perkara 112D.
Fadillah berkata, beliau berharap melalui rundingan itu, formula yang terbaik untuk menjaga kepentingan negara dan juga kepentingan yang termaktub dalam Perlembagaan dimuktamadkan.
Beliau berkata, sebaik perbincangan selesai, hasilnya akan dilaporkan kepada Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikannya sebelum keputusan akhir dibuat.
“Bila sudah ada perbincangan nanti, mereka akan melaporkan kepada jawatankuasa teknikal dan saya akan menunggulah. Masa ini saya belum ada maklumat lanjut,” katanya.
Mengulas sama ada Kerajaan Persekutuan akan mengguna pakai formula dikemukakan Sarawak, beliau berkata perkara itu masih belum diputuskan dan bergantung sepenuhnya kepada hasil rundingan.
“Belum, mereka kena berbincang dahulu. Apa formula, kita tak tahu lagi. Tunggulah perbincangan dan bila dilaporkan kepada jawatankuasa teknikal serta dimuktamadkan, kita akan maklumkan,” katanya.
Semalam, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johqri Abang Openg dalam maklum balas kenyataan yang sama dilapor berkata, Sarawak mencadangkan supaya jumlah pemberian khas kepada negeri itu di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan ditentukan berdasarkan peratusan hasil yang dijana negeri.
Beliau dipetik berkata kerajaan negeri akan mencadangkan satu formula baharu bagi geran berkenaan supaya pemberian itu berpandukan jumlah pendapatan negeri, khususnya berasaskan kutipan cukai, selain bersifat fleksibel mengikut prestasi hasil semasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




