am@hmetro.com.my
Bukit Jalil: Ratu Rock, Ella, 59, membuat kejutan pada Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026 apabila menaiki bas mengelilingi Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di sini, ketika mendedangkan lagu ikonik, Standing In The Eyes Of The World, malam tadi.
Lebih istimewa lagi, bas dua tingkat itu turut membawa empat atlet kebangsaan iaitu Datuk Nicole Ann David, Farah Anne, Zyad Zulkifli dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.
Selepas mengelilingi stadium lantas mengimbau detik lagu itu diperkenalkan pada Sukan Komanwel 1998 buat pertama kalinya, Ella dan semua atlet menaiki pentas.
Nicole yang juga lagenda skuash negara menyifatkan Ella sebagai penyanyi hebat.
“Awak seorang yang hebat. Muzik awak bukan hanya menawan Malaysia malah melangkau seluruh dunia,” katanya di pentas.
Selain membawa atlet negara, Ella menampilkan satu lagi kejutan dengan mengundang penyanyi rock terkemuka tanah air, Datuk Amy Search berduet menerusi lagu Dua Insan Bercinta.
Pada malam itu, Ella turut mengundang kumpulan yang menaikkan namanya dipersada muzik tanah air iaitu Ella & The Boys.
Tidak ketinggalan konsert yang dibawakan Hitman Solutions itu turut menampilkam Tam Spider yang pernah berduet bersama Ella dengan lagu Dunia Batinku. Ella berkata, itu kali pertama dalam tempoh 20 tahun dia berduet bersama Tam.
Ella turut berduet dengan Joe Flizzow mempersembahkan lagu Bayangan.
Ella juga mengundang penyanyi muda, Amir Masdi berduet menerusi lagu Baldu Biru dan Sam Bunkface untuk lagu Istimewah.
Pada konsert itu, Ella mendendangkan 30 lagu.
Antara lagu dipersembahkan Rama-Rama, Kesal, Raguku, Bolero, Sembilu, Pedih, Rindu, Permata Pemotong Permata, Nuri dan Sepi Sekuntum Mawar Merah sebelum menutup tirai dengan lagu Gemilang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




