'Kalau hang berani sakau, hang tengok…' – Anwar

'Kalau hang berani sakau, hang tengok…' – Anwar

am@hmetro.com.my

Padang Rengas: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan kerajaan tidak akan mengizinkan mana-mana pihak berani melakukan perbuatan ‘sakau’ wang kerajaan atau berdepan tindakan tegas.

Beliau berkata, negara tidak boleh berada di takuk lama apabila individu tertentu khususnya pemimpin sering dikatakan hanya mahu memperoleh kekayaan bagi diri sendiri melalui wang kerajaan.

“Saya tak izin orang nak guna wang kerajaan ini nak sakau… saya tak bagi. Kalau hang cuba, hang berani, tengok.

“Hang buat. Kita tangkap, bawa mahkamah dan duduklah bilik saya di Sungai Buloh kah.

“Yang tak boleh dipertikai, kita tak sakau duit. Kita tak mahu dah ulang Malaysia ini kerjanya cerita sebab pemimpin asyik bagi kaya diri dia sendiri…. Saya tak mahu dengar.

“Sementara saya ada mandat, jangan cuba. Soal orang nak maki apa itu soal dia tetapi saya nak minta ibu bapa, saudara-saudari percaya yang kita akan pastikan negara ini di landasan yang betul,” katanya ketika berucap pada Majlis Santuni MADANI & Sambutan Ihya’ Ramadhan warga Padang Rengas di Arena Kampung Chuar, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata, beliau tidak berhasrat berdendam dengan sesiapa, tetapi hanya bekerja untuk membantu rakyat khususnya golongan miskin.

“Cakaplah apa pun, saya bukan nak dendam dengan orang. Nak dendam, marah apa lagi, bagi tahu saya… Dulu duduk di Kamunting, dan kini Allah takdirkan Alhamdulillah dah jadi Perdana Menteri (maka) buatlah kerja nak tolong orang miskin.

“Dana wang yang ada ini wang amanah. Bantulah seberapa banyak, tengok untuk Islam (juga)…. Belum pernah peruntukan untuk pendidikan Islam yang dibuat seperti mana sekarang, dakwah sehingga RM2.6 bilion untuk JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan kegiatan Islam.

“Ingat tahun 2003 dahulu, Perdana Menteri pada masa itu hentikan semua bantuan peruntukan bagi sekolah agama rakyat.

“Saya jadi Perdana Menteri pada November tahun 2023, dan pada November serta Januari saya umum bagi balik sekolah peruntukan sekolah agama.

“Dan tahun lalu kita tambah selain baru-baru ini saya umum lagi, kita bagi RM200 juta untuk baiki semua sekolah agama terutama sekolah agama rakyat di negara kita,” katanya.

Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan awal RM2 juta untuk pembangunan infrastruktur tambahan Masjid Al-Muttaqin, Padang Rengas.

Turut diadakan penyampaian sumbangan kepada 28 masjid di Parlimen Padang Rengas dengan jumlah keseluruhan RM140,000; sumbangan kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Yahyawiah RM200,000; dan sumbangan Dapur Madani berjumlah RM60,000.

Anwar dalam pada itu turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menimbulkan masalah dengan menaikkan sentimen kebencian antara kaum yang sehingga dapat memalingkan tu,puan daripada melakukan kerja bagi manfaat rakyat.

“Janganlah timbul masalah di kalangan kita, benci kat orang… Jangan benci Cina, jangan benci India, bergaduh saja tapi kerja tak buat.

“Memanglah baru ini orang bangkit pasal kuil. Saya tegaskan yang kuil perlu ikut peraturan. Masjid pun hari ni dapat buat (projek di) Masjid Al-Muttaqin, ada permohonan, ada peraturan dia, bukan langgar ikut suka.

“Kita ikut peraturan jadi orang lain pun kena ikut jugalah. Ini saja kita minta, tapi janganlah gaduh…. Janganlah sampai kita berpecah belah, (sebaliknya) kita cuba laksanakan dengan sebaiknya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top