Pemecatan Hamzah: 'Biar diorang gaduh dulu' – Anwar

Pemecatan Hamzah: 'Biar diorang gaduh dulu' – Anwar

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu masuk campur dalam isu membabitkan pemecatan bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, buat masa ini.

Beliau juga enggan mengulas mengenai keperluan pelantikan jawatan Ketua Pembangkang baharu selepas Hamzah yang memegang jawatan itu dipecat keahliannya daripada parti BERSATU, Jumaat lalu.

“Biar diaorang bergaduh dulu,” katanya ringkas ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Presiden bersama PKR Negeri Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Wanita PKR yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Setiausaha MPN PKR Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, keputusan memecat Hamzah diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti itu.

Hamzah dilaporkan tidak hadir selepas dipanggil ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti itu yang dijadual berlangsung di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.

Lembaga Disiplin BERSATU dalam notis panggilan sebelum ini memaklumkan Hamzah dipanggil terkait isu kritikan dan serangan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin serta rundingan membabitkan presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, Anwar tiba di majlis berkenaan, kira-kira jam 2.20 petang, disambut dengan laungan ‘reformasi’ oleh lebih 1,000 ahli parti berkenaan.

Ditanya apa intipati ucapan beliau kepada pimpinan PKR Johor pada majlis berkenaan, Perdana Menteri itu berkata, pimpinan PKR Johor harus terus kuat bekerja sebagai satu pasukan.

“Kuat kerja, kerja kuat sebagai satu pasukan,” katanya.

Semalam, Anwar turut hadir pada majlis yang sama di Perak, manakala di Kedah, sehari sebelumnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top